Ipoh: Dua remaja termasuk pelajar tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur berusia 14 tahun minggu lalu.
Pelajar tahfiz berusia 16 tahun dan seorang lagi tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa merogol mangsa sama yang pada waktu kejadian mangsa berusia 14 tahun enam bulan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah lot di Jalan Gopeng, Kampung Sindu, di sini, kira-kira jam 4.30 petang 15 September lalu.
Kedua-dua tertuduh itu turut berdepan dengan pertuduhan kedua iaitu melakukan perbuatan serupa (merogol) mangsa sama di lokasi yang sama namun pada tarikh berbeza iaitu sehari selepasnya kira-kira jam 9.30 pagi 16 September.
Kesalahan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor N Ganesan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohamad Khazali Yin.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh sebelum Mohamad Khazali memohon jumlah itu dikurangkan dengan mengambil kira faktor kehidupan kedua-dua tertuduh masih disara oleh keluarga.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin, setiap seorang.
Mahkamah menetapkan 1 November untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa serta dokumen berkaitan.