Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.
KUCHING: Sebuah premis menyimpan kereta terpakai yang dijadikan asrama pekerja gerai-gerai barbeku (rumah asap) di Jalan Stutong, di sini dilaporkan terbakar hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.34 petang.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan Padungan terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
"Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah yang dijadikan asrama pekerja dan terdapat juga beberapa kereta terpakai yang terbakar.
"Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman untuk mengawal kebakaran merebak," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sehingga berita ini ditulis, difahamkan tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian juga masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
|