CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13626|Reply: 0

[Sarawak] Sarawak tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan

[Copy link]
Post time 4-4-2023 08:17 PM | Show all posts |Read mode


Fatimah (tengah) meneliti kenyataan mengenai sambutan Minggu Perpaduan sambil disaksikan Dirwana (dua kanan), Rosey (dua kiri), Giri (kanan) dan Noriah (kiri) selepas kunjungan di Kuching, hari ini.  - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 20 Mei 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, acara itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tarikh berkenaan.

"Pada pagi ini saya menerima kunjungan daripada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah tentang program paling besar tahun ini iaitu sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan, di mana ia akan dirasmikan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

"Sarawak telah dipilih untuk menjadi tuan rumah. Kuching mungkin menjadi tempat penganjuran namun perkara terperinci akan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat yang diadakan pada 6 April nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada Pengarah JPNIN Sarawak Dirwana Azol dan timbalannya Giri Nyareng di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, mesyuarat yang diadakan pada 6 April nanti akan dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Bagi kita, ia satu pilihan tepat kerana Sarawak adalah satu negeri yang boleh dijadikan contoh untuk perpaduan yang jitu melibatkan kepelbagaian budaya, agama dan bangsa.

"Jadi perpaduan dari aspek tersebut yang hendak kita terus pupuk, pelihara bukan sahaja perpaduan antara kaum, antara pelbagai agama dan pelbagai bangsa dan budaya bahkan kita juga sekarang ini pupuk perpaduan antara generasi, maknannya antara warga emas, belia dan kanak-kanak," katanya.

Mengenai JPNIN Fatimah berkata, ia adalah agensi di bawah persekutuan namun di Sarawak perpaduan adalah di bawah tanggungjawab kementeriannya memandangkan negeri ini tidak mempunyai kementerian berkaitan perpaduan.

Katanya kementerian dan jabatan mempunyai pelbagai isu khusus yang menjadi fokus yang sama antara kedua-dua pihak termasuk unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK).

"Pertama memang dari sudut perpaduan kerana bagi kita di kementerian perpaduan sangat penting sebab dengan adanya perpaduan maka pembangunan dapat kita teruskan dan berjalan lancar di Sarawak.

"Sekiranya elemen perpaduan itu ada maka keharmonian dan kesejahteraan komuniti itu wujud. Jadi kita dapat fokus kepada pembangunan," ujarnya.

Mengenai unit PAKK, Fatimah berkata JPNIN mempunyai tadika iaitu Tadika Perpaduan di mana sehingga kini dianggarkan terdapat 176 buah Tadika Perpaduan di Sarawak.

Katanya kerajaan negeri menerusi kementerian beliau telah memperuntukkan geran tahunan khas sebanyak RM5,000 kepada setiap tadika atau taska yang berdaftar.

"Ini termasuk tadika di bawah Jabatan Perpaduan. Ia bagi memastikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak kita di negeri Sarawak ini yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Perpaduan adalah berkualiti dan peruntukan boleh diguna pakai untuk hasrat tersebut," tegasnya.

Fatimah memaklumkan pemberian geran khas RM5,000 berkenaan kepada Tadika Perpaduan telah dilaksanakan sejak 2019.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Noriah Ahmad.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-5-2024 11:25 AM GMT+8 , Processed in 0.296723 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list