Pelakon Jay Iswazir yang merangkul trofi Pelakon Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin 2018 menerusi telefilem Aku Nazmi meluahkan rasa terkilannya pernah dipandang rendah kerana keadaan dirinya.
Kredit foto: IG Jay Iswazir
Jay atau nama sebenarnya Ahmad Iswazir Ismail mengakui dia pernah berasa malu dengan wajahnya yang berparut dan tidak sempurna berbanding rakan artis lain dalam industri.
"Sebelum ini, saya dipandang rendah dan tidak mendapat sokongan untuk berlakon kerana kekurangan pada wajah saya. Saya tak salahkan pelakon lain yang memiliki kelebihan dari segi paras rupa.
"Namun, dalam 10 tahun terakhir ini, saya lihat apa yang penting adalah jalan cerita sesuatu karya dan bukan kerana rupa paras pelakon semata-mata," katanya kepada Harian Metro.
Segala usaha dan penat lelah ditaburkan dalam drama Aku Nazmi membuahkan hasil apabila dia dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.
"Lama juga saya rasa rasa rendah diri dengan kekurangan saya. Benda ini kadang-kadang buat saya malu dan mengeluh.
"Saya bersyukur kerana diberikan kekuatan untuk terus bekerja keras, sekali gus berpeluang menggenggam trofi ASK2018.
"Walaupun ada yang kutuk dan mengatakan saya sudah terlambat memandangkan usia saya sudah 36 tahun, saya sudah buktikan kemampuan saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, filem lakonan Jay iaitu Polis Evo 2 yang turut memampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak, Raline Shah dan Erra Fazira bakal menemui penonton pada 22 November ini. - CARI
|