KOTA BHARU: Kontrak kira-kira 2,600 orang Guru Kontrak Perkhidmatan (COS) yang akan tamat pada Jun ini, dijangka disambung untuk tempoh dua tahun lagi. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan di antara kementeriannya dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selesai. Justeru, katanya, kumpulan guru berkenaan tidak perlu bimbang mengenai nasib mereka termasuk desas desus kononnya mereka tidak akan mendapat gaji pada Mei ini.
"Berkaitan COS, kita melihat ramai yang bangkitkan isu ini memandangkan kontrak mereka akan tamat pada Jun ini. "Isu ini sedang dalam proses untuk diambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan tatacara sedia ada. "Ingin saya jelaskan kerana ada yang kata tidak dapat gaji Mei ini adalah tidak benar, kerana kita akan pastikan kebajikan guru-guru terpelihara," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah terbuka di kediamannya di Ketereh, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Radzi berkata, sejak dari awal KPM dan SPP sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu, namun tidak membuat sebarang pengumuman. "Yang pasti perkara ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. "Untuk serap kepada lantikan tetap, ia adalah bidang kuasa SPP berdasarkan proses tertentu yang perlu dilalui oleh calon," katanya. Dalam perkembangan lain ketika ditanya trend guru bersara awal, Radzi berkata, pihaknya akan memperincikan satu persatu serta tindakan yang boleh diambil mengenai isu guru bersara awal. "Kita sedang kaji secara mendalam lagi dengan mengambil kira data dari tahun 2017 lagi kerana mana-mana perkhidmatan lain juga akan ada yang mengambil ketetapan untuk bersara awal, bukan guru sahaja yang bersara awal kerana ia adalah pilihan masing-masing," katanya.
|