Mayat mangsa ditemui selepas dilaporkan hilang ketika mandi-manda di Air Terjun Wong Ruan, Ulu Sarikei pada Jumaat.
SARIKEI: Aktiviti mandi-manda sekumpulan remaja di Air Terjun Wong Ruan, Ulu Sarikei bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dipercayai lemas, pagi Jumaat.
Jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.30 pagi.
“Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian iaitu Air Terjun Wong Ruan, Ulu Sarikei yang terletak 32 kilometer dari balai.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba dimaklumkan mangsa yang dikenali sebagai Alex Lau Hui Ping telah meninggal dunia dipercayai lemas.
“Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Lemba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan melakukan aktiviti selaman di lokasi.
“Sejurus ditemui, mangsa diserahkan kepada pihak perubatan yang turut berada di lokasi kejadian dan telah disahkan meninggal dunia,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, mangsa mandi-manda di lokasi terbabit bersama tiga lagi rakannya yang berusia 18 dan 17 tahun yang dilaporkan selamat.
“Sejurus ditemui, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
|