|
KEHADIRAN pemain warisan dan naturalisasi bukanlah satu-satunya cara menganggap prestasi skuad Harimau Malaya.
PEMINAT Harimau Malaya tidak wajar terlalu menagih kudrat pemain warisan dan perlu bersikap lebih tenang untuk melihat skuad kebangsaan mampu tampil lebih baik di pentas antarabangsa.
Langkah untuk membawa masuk pemain warisan bukanlah satu-satunya solusi terbaik hingga mengabaikan usaha melahirkan lebih ramai bintang dalam kalangan ‘anak jati’ sendiri.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, berkata tiada sebarang jaminan kehadiran pemain warisan mampu menghadirkan impak besar kepada skuad kebangsaan.
“Pemain naturalisasi tidak perlu, tetapi kalau pemain warisan boleh dipertimbangkan. Dalam masa sama kita juga kena pastikan pemain itu benar-benar ada kualiti kerana kalau lebih kurang dengan pemain tempatan, ia sesuatu yang merugikan.
“Untuk bekas pemain, memanglah kita mahu anak jati bermain, tetapi yang kita ada sekarang mungkin kita kena belasah. Di Piala Asia pun kita berdepan kesukaran dan dari segi permainan saya belum berpuas hati kerana nampak standard kita masih jauh.
“Pemain tempatan ada hati dan jiwa untuk negara, tetapi ia mungkin tidak sama dengan pemain warisan. Jadi, ia bukanlah keperluan mendesak untuk kita mendapatkan pemain warisan,” katanya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini mendedahkan beberapa calon yang dicanang peminat adalah palsu dan pemain yang dikaitkan langsung tidak ada kaitan dengan Malaysia.
Hamidin juga menegaskan badan induk itu dan pengendali pasukan, Kim Pan-gon tidak bercadang untuk menambah pemain warisan ke dalam skuad Harimau Malaya.
“Kesimpulannya, kalau mahu pemain warisan kena benar-benar yang boleh bantu pasukan. Masalah kita kadang-kadang kita terlalu gopoh untuk buat keputusan, langsung tidak ada badan yang menilai daripada aspek teknikal dan analisis kekuatan,” kata Jamal.
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... main-warisan-bagus/ |
|