Beier (kiri) meraikan gol kemenangan pada perlawanan Bundesliga Jerman di antara Borussia Dortmund dan Hoffenheim di Dortmund, Jerman, kelmarin. — Gambar AFP
DORTMUND: Dua gol dalam tempoh tiga minit dari Maximilian Beier memastikan Hoffenheim menang 3-2 di Borussia Dortmund dalam aksi Bundesliga Jerman pada Ahad, sekali gus memberikan kekalahan pertama Dortmund tahun ini.
Kekalahan saat akhir RB Leipzig di Bayern Munich pada Sabtu membuka peluang untuk Dortmund menjarakkan kedudukan dengan kelebihan empat mata di tangga keempat liga jika menang tetapi pertahanan rapuh menyebabkan lawan mereka mudah menembusi pintu gol.
“Dengan kesilapan individu, kami memberikan lawan peluang dan membenarkan mereka mengubah permainan,” kata jurulatih Dortmund, Edin Terzic.
Pemain tengah Dortmund, Julian Brandt mengkritik pasukannya kerana “mudah hilang bola”, dengan memberitahu media bahawa “kami melakukan kesilapan dan dihukum.”
Kekalahan pertama Dortmund sejak awal bulan Disember itu bagaimanapun kemenangan pertama Hoffenheim sejak hujung minggu yang sama dan mengurangkan sedikit tekanan ke atas jurulatihnya, Pellegrino Matarazzo.
Dortmund menghadiahkan gol pembukaan Hoffenheim seawal minit kedua apabila kekeliruan di antara Nico Schlotterbeck dan rakan pertahanan baharunya, Emre Can, membolehkan Ilhas Bebou menjaringkan gol.
Dortmund mengasak selepas itu dan menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan separuh masa kedua.
Donyell Malen mengikat kedudukan dari satu umpanan Marco Reus untuk gol peribadi liga yang ke-10 musim ini.
Schlotterbeck kemudian menebus kesilapannya apabila menanduk gol kedua dari satu tendangan percuma Reus.
Dengan Dortmund mengawal permainan tetapi gagal menjaringkan gol ketiga, Hoffenheim pula bangkit dengan dua gol pantas untuk kembali di hadapan dan kedua-dua gol itu berpunca dari kesilapan pemain Dortmund.
Gol Beier pada minit ke-61 adalah selepas terkena Schlotterbeck dan masuk ke pintu gol sebelum gol kedua peribadi Beier menyusul tiga minit kemudian selepas pemain Dortmund hilang bola.
“Ia benar-benar menarik. Kami bermain dalam separuh masa kedua dengan lebih bersemangat dan mengubah rentak permainan,” kata Beier.
Kapten Dortmund, Can, mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan pada lewat permainan tetapi tandukannya sedikit tinggi dari palang gol walaupun tidak dikawal dalam kotak penalti.
Pada perlawanan awal, Omar Marmoush menjaringkan gol pada minit kecederaan untuk membantu Eintracht Frankfurt seri 2-2 dengan Wolfsburg.
Frankfurt bangkit dari ketinggalan sebanyak dua kali, dengan Marmoush menjaringkan gol penting pada saat akhir.
Keputusan seri itu menambah lagi tekanan ke atas jurulatih Wolfsburg, Niko Kovac, dengan pasukannya masih tanpa kemenangan sejak pertengahan bulan Disember. – AFP
|