Kuala Lumpur: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan–M Thinaah tidak dapat menahan air mata selepas mengesahkan tiket ke pentas final Kejohanan Dunia, esok.
Bagi Thinaah, dia sangat terharu dan sukar untuk berkata-kata sebaik sahaja mereka mendapatkan mata kemenangan kerana memikirkan apa yang dilalui sebelum ini yang benar-benar menguji diri mereka berdua.
"Ya... (menangis) kerana saya rasa masih tidak percaya bahawa kami berada di sini hari ini. Apa yang kami lalui sejak satu atau dua minggu kebelakangan ini memang bukan mudah. Ramai hanya nampak keputusan di gelanggang, tetapi hanya kami dan jurulatih tahu apa yang sebenarnya berlaku di belakang tabir.
"Saya berterima kasih kepada semua yang tidak pernah menyerah terhadap kami. Kata-kata tidak dapat menjelaskan betapa gembiranya kami, tetapi kami tetap perlu fokus kerana perjalanan masih panjang," kata Thinaah.
Sementara itu, Pearly pula mendedahkan bahawa fokus utamanya hanyalah memastikan rakan gandingannya berada dalam keadaan baik sepanjang perlawanan.
"Saya cuma risaukan dia. Kami saling menyokong antara satu sama lain dan itu sangat berharga buat kami," katanya.
Mengulas kunci kemenangan ke atas pasangan Jepun, Pearly–Thinaah sependapat bahawa ketenangan dan komunikasi menjadi faktor utama.
"Pada set penentuan, kedua-dua pihak jelas sudah keletihan. Namun, kami saling berkomunikasi dan terus mengingatkan diri agar menikmati setiap mata tanpa sebarang penyesalan.
"Saya rasa kunci kejayaan adalah tetap tenang. Kami berdua penat, tetapi komunikasi yang baik memastikan kami dapat mengawal permainan," kata Pearly.
Terdahulu, pada aksi separuh akhir di Adidas Arena, hari ini, Pearly–Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama beregu wanita negara ke pentas akhir Kejohanan Dunia selepas menewaskan pasangan Jepun, Nami Matsuyama–Chiharu Shida dalam pertarungan tiga set 14-21, 21-13, 21-12 dalam masa 68 minit.
Untuk rekod, bagi beregu wanita, Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di Kejohanan Dunia sebelum ini.