Pearly-Thinaah cipta sejarah di Kejohanan Dunia
Khairil S Iswan - Ogos 29, 2025 @ 8:09pm

Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya pingat gangsa berada dalam genggaman mereka. Foto: AFP
KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta di Paris apabila Pearly Tan-M Thinaah mencetak nama mereka dalam rekod badminton negara dengan menjadi gandingan beregu wanita pertama Malaysia yang berjaya memenangi pingat di Kejohanan Dunia, hari ini.
Kejayaan membanggakan itu diperoleh selepas pasangan nombor dua dunia itu mengesahkan kemaraan ke peringkat empat terbaik dengan menewaskan gandingan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di peringkat suku akhir di Adidas Arena.
Seperti dijangka, aksi dominan ditampilkan Pearly-Thinaah yang meraih kemenangan straight set 21-15, 21-10 sekali gus menjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman mereka.
Kemenangan itu adalah yang keempat daripada lima pertemuan menentang pasangan Stoeva dan meneruskan penguasaan mereka selepas turut menewaskan lawan yang sama di Terbuka Jepun bulan lalu.
Kemaraan ke peringkat separuh akhir adalah pencapaian terbaik Pearly-Thinaah di Kejohanan Dunia dalam empat penampilan sebelum ini. Kejayaan terbaik mereka sebelum ini adalah di suku akhir pada edisi 2023.
Menanti Pearly-Thinaah di peringkat separuh akhir esok adalah musuh tradisi dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/08/1439863/pearly-thinaah-cipta-sejarah-di-kejohanan-dunia
|