Verstappen gembira Perez kembali ke F1
Reuters - Ogos 28, 2025 @ 10:27pm

Verstappen ketika sidang media menjelang Grand Prix Belanda. Foto: REUTERS
ZANDVOORT (Belanda): Juara dunia empat kali Max Verstappen, menyuarakan kegembiraannya apabila bekas rakan sepasukannya, Sergio Perez, kembali ke pentas Formula Satu bersama pasukan baharu, Cadillac, musim depan.
Perez pernah bergandingan bersama Verstappen dari 2021 hingga 2024 sebelum meninggalkan pasukan disebabkan prestasi yang merudum.
Pemandu 35 tahun itu bakal bergandingan bersama Valtteri Bottas, dengan pengumuman mengenai penampilan pasukan baharu itu diumumkan Selasa lalu.
"Sebaik sahaja saya melihat berita itu, saya terus menghantar mesej kepadanya," kata Verstappen menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Belanda.
"Sudah tentu saya sangat gembira kerana dia mendapat tempat. Dia seorang yang hebat dan kami sentiasa bersama dengan baik. Saya gembira untuk melihatnya kembali ke grid perlumbaan.
"Sejauh mana prestasinya, saya fikir itu bergantung kepada sejauh mana jentera dipandunya nanti... namun ini adalah peluang baharu dan saya pasti dia juga sangat teruja."
Peres - pemenang tujuh perlumbaan - pernah muncul selaku naib juara di belakang Verstappen pada 2023 namun prestasinya jatuh ke kedudukan kelapan pada 2024.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/08/1439473/verstappen-gembira-perez-kembali-ke-f1
|