Iwobi (kiri) meraikan gol kemenangan buat Fulham pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Fulham di Old Trafford di Manchester, kelmarin. — Gambar AFP
MANCHESTER: Semangat keyakinan Manchester United tersentak apabila Alex Iwobi menjaringkan gol kemenangan minit ke-97 buat Fulham, yang juga kemenangan pertama di Old Trafford sejak 2003 sementara Manchester City menewaskan Bournemouth 1-0 untuk merapatkan jurang di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool dengan kurang satu mata.
Dengan Liverpool tidak beraksi dalam liga untuk final Piala Liga Inggeris menentang Chelsea pada Ahad, City dan Arsenal – yang membelasah Newcastle United 4-1 – menggunakan perlawanan hujung minggu ini (kelmarin) untuk memberikan tekanan ke atas Liverpool.
Bagaimanapun, harapan Manchester United untuk mengembalikan saingan kejuaraan kelihatan kembali pudar.
Pengesahan pembelian saham minoriti United oleh Jim Ratcliffe minggu ini dan satu tempoh memberangsangkan mengembalikan harapan keyakinan permulaan baharu buat United.
Mereka memenangi empat perlawanan liga terakhir untuk mengembalikan harapan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan namun kekalahan 1-2 kepada Fulham menyebabkan mereka kini ketinggalan lapan mata di belakang Aston Villa, pasukan di tangga keempat liga yang juga slot terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Ratcliffe mendedahkan cita-citanya untuk menjatuhkan City dan Liverpool dari singgahsana liga dalam tempoh tiga tahun.
Tetapi usaha sukar yang bakal menanti hartawan British itu dalam dan luar padang didedahkan ketika Fulham menguasai hampir sepanjang permainan.
Fulham akhirnya menyempurnakan peluang mereka pada pertengahan separuh masa kedua apabila Calvin Bassey menjaringkan gol pertamanya buat Fulham dari satu tendangan sudut.
United kelihatan merampas satu mata berharga apabila Harry Maguire merembat bola muntah selepas rembatan Bruno Fernandes gagal ditangkap kemas penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Tetapi ketika United membayangkan keputusan seri sudah memadai, Adam Traore melepasi kawalan Maguire sebelum mengumpan kepada Iwobi untuk menewaskan penjaga gol Andre Onana dan menjaringkan gol kemenangan.
“Kami memburu kemenangan tetapi pada akhirnya kami tercicir dua mata,” kata pengurus United, Erik ten Hag.
City sekali lagi tidak beraksi di tahap terbaik mereka, sama seperti ketika menang tipis 1-0 ke atas Brentford minggu lepas, yang bagaimanapun sudah memadai untuk mengembalikan saingan kejuaraan liga.
Phil Foden menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium Vitality ketika dia menjaringkan gol peribadi ke-16 musim ini selepas penjaga gol Bournemouth gagal menepis kemas rembatan Erling Haaland.
Penjaga gol City, Ederson, beraksi tangkas untuk menafikan gol penyamaan Bournemouth terutama sekali dari satu tandukan Dominic Solanke sebelum Enes Unal juga mempunyai peluang mengikat kedudukan pada minit kecederaan apabila rembatannya terkena palang gol.
“Mereka adalah pemain luar biasa,” kata pengurus City, Pep Guardiola. “Tuntutan kalendar, untuk harapan, ia sangat tinggi.
“Saya tidak tahu berapa lama lagi kami mampu bertahan dalam semua pertandingan tetapi kami masih bertahan. Menyedari dari mana kami datang, ia adalah luar biasa sekali.”
Di Stadium Emirates, Arsenal membuka jaringan pada minit ke-18 apabila Gabriel Magalhaes menanduk bola ke arah hadapan pintu gol dan penjaga gol Newcastle, Loris Karius hanya mampu menepis bola ke arah Sven Botman, yang tertolak bola ke pintu golnya sendiri.
Kai Havertz menambah jaringan pada minit ke-24 selepas gandingan Jorginho dan Gabriel Martinelli membuka pertahanan lawan.
Bukayo Saka menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 sebelum Jakub Kiwior melengkapkan jaringan empat minit kemudian untuk memberikan Arsenal 15 gol dari tiga perlawanan liga terakhir.
Gol sagu hati Newcastle dijaringkan Joe Willock pada minit ke-84.
Pada perlawanan lain, Aston Villa menjarakkan kedudukan dengan kelebihan lima mata berbanding Tottenham Hotspur selepas menewaskan Nottingham Forest 4-2, menyebabkan lawan mereka kekal empat mata di atas zon penyingkiran.
Oliver Glasner memulakan karier sebagai pengganti pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson apabila meraih kemenangan 3-0 ke atas Burnley.
Everton dinafikan satu kemenangan apabila Lewis Dunk mengikat kedudukan pada minit ke-95 untuk kedudukan seri 1-1 dengan Brighton di Stadium Amex. — AFP