|
Pemain Real Madrid, Luka Modric (kiri) menjaringkan gol ketika aksi La Liga menentang Sevilla di Santiago Bernabeu, Madrid. - Foto AFP
MADRID: Pemain tengah Real Madrid, Luka Modric masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol menarik dari luar kotak penalti untuk kemenangan 1-0 ke atas Sevilla.
Kemenangan itu melebarkan kedudukan Madrid di puncak La Liga kepada lapan mata, dengan Barcelona di tangga kedua selepas menewaskan Getafe 4-0 pada Sabtu, dan sembilan mata di depan Girona yang akan bertemu Rayo Vallecano malam ini.
Real yang mendominasi babak pertama, terlepas peluang mendahului permainan apabila jaringan Lucas Vazquez dibatalkan VAR kerana ofsaid.
Penjaga gol Real, Andriy Lunin beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan Sevilla yang memberi ancaman menerusi serangan balas.
Penjaga gol Sevilla, Orjan Nyland juga hampir menampilkan persembahan sempurna sehingga Modric, 38, melepaskan sepakan lencong untuk gol tunggal permainan pada minit ke-81.
"Ia memerlukan latihan setiap hari. Anda dapat lihat saya berlatih melakukan sepakan ke arah gol beberapa jam setiap hari. Dalam bola sepak, anda perlu melakukan percubaan, hari ini ia menerpa gawang.
"Kegigihan adalah kekuatan kami, kami tidak pernah berhenti, kami mencipta peluang dan memburunya sehingga ke penghujung.
"Kami tidak boleh kehilangan mata hari ini kerana Barcelona begitu rapat. Kesungguhan kami membuahkan hasil. Tiga mata ini cukup penting dalam liga," kata Modric.
Sevilla menghuni tangga ke-15 liga pada 24 mata, enam mata di atas zon penyingkiran. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... penting-buat-madrid |
|