|
HARRY MAGUIRE berjaya meledak gol penyamaan pada lewat permainan, namun United bolos pada masa kecederaan ketika tewas berdepan Fulham kelmarin. - AFP
MANCHESTER – Biarpun terpaksa menanggung kekalahan pertama untuk tahun 2024 selepas lapan perlawanan apabila tewas 1-2 kepada Fulham di Old Trafford kelmarin, pengendali Manchester United, Erik Ten Hag mengakui masa depan pasukan itu masih lagi cerah.
Kekalahan itu menyaksikan harapan United untuk berada di kelompok empat pasukan teratas dan layak ke saingan Liga Juara-Juara menjadi sukar, malah ia juga memberi kesan kepada masa depan Ten Hag sebagai pengurus pasukan itu.
“Saya beritahu, apabila bermulanya Januari, kami akan beraksi dalam semua perlawanan seperti pentas final. Kami sudah memenangi banyak perlawanan dan sekarang kami tewas sekali.
“Selepas tewas pada perlawanan ini, anda perlu melihat dalam gambaran yang lebih besar dan saya berpendapat ia berada dalam keadaan baik.
“Kami perlu memperbaiki kelemahan di beberapa posisi dan menyelesaikan masalah kecederaan untuk menjadikan pasukan ini kembali seimbang. Kami juga perlu memperkuat pasukan pada jendela perpindahan nanti,” katanya.
Mengulas mengenai kekalahan tersebut, Ten Hag mengakui United tidak layak untuk tewas selepas mempamerkan karakter yang baik.
“Kami bermula perlahan pada kedua-dua babak permainan, namun kami berjaya bangkit untuk menguasai perlawanan, tetapi kami hanya tersilap langkah pada hujung perlawanan,” jelasnya.
Sementara itu, penjaring gol tunggal United, Harry Maguire memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak lagi mempamerkan aksi ‘naif’ seperti menentang Fulham sekiranya mahu menghidupkan peluang menamatkan musim di kelompok empat teratas. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/02 ... ester-united-bagus/ |
|