Sokongan kelab peminat, Siti Nordiana Fan Club (FC) menjadi 'benteng pertahanan' buat penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana, 37, mengekalkan populariti yang dikecapi.
Tanpa Siti Nordiana FC tidak mungkin penyanyi lagu Terus Mencintai dan Cukup Derita Itu mampu berdiri seteguh ini, malah setiap karya dan drama yang dibintangi pasti meraih perhatian. Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana bersyukur, memiliki kelab peminat yang menjadi kekuatannya. Malah, cukup bersemangat mengundi dan menyokong dalam setiap pertandingan disertai termasuklah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. Nana berjaya membolosi dua pencalonan awal kategori Artis Versatil Popular dan Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 34.
"Saya anggap ada peminat yang teguh menyokong sebagai anugerah daripada Tuhan. Ia sangat bermakna dalam hidup saya. "Tuhan menghadirkan perasaan kasih sayang daripada peminat kepada saya. Tiada apa yang saya nak minta, cukup kasih sayang ini berterusan. Apabila peminat sayang, jangan sesekali mengecewakan mereka," katanya kepada BH Online.
Pelakon drama Dia Semanis Honey dan Satukan Rasa mengakui, kelompok peminat menerima insan bernama Siti Nordiana ini seadanya. "Mereka menerima kekurangan dan kelebihan saya. Saya sendiri tidak pernah cuba menjadi orang lain. "Malah, saya tidak segan dan canggung mengaku kekurangan diri. Mungkin mereka nampak saya nak belajar dan memperbaiki kelemahan. "Segala teguran saya akan diterima dengan hati terbuka. Saya jadikan pedoman dan memperbaiki diri dari masa ke masa. "Namun, paling penting, saya akan cuba keluarkan material berkualiti supaya peminat tidak jemu. Ini yang selalu saya tekankan agar peminat setia dengan saya, insya-Allah," katanya.
Mengulas soal harapan, pemenang Artis Versatil Popular, ABPBH 33 itu hanya berserah kepada sokongan peminat. "Saya harap semoga usaha peminat dan Siti Nordiana FC dapat melayakkan saya ke Top 5. Itu juga harapan peminat. "Saya percaya mereka akan terus buat terbaik. Ada rezeki, insya-Allah. Kalau sebaliknya, tidak mengapa, saya boleh cuba lagi," katanya. Dalam pada itu, Nana yang kini bergelar pengarah video muzik melihat sokongan peminat terhadapnya tidak berbelah-bahagi biarpun pada era pandemik.
"Tidak kira sebelum atau selepas pandemik, saya lihat keterujaan peminat tetap sama. Di ruang mesej peribadi dalam Instagram (IG) penuh dengan poster undian dan melobi saya dalam ABPBH 34. "Malah, saya mendapat tahu poster kempen dibuat sendiri. Apa yang dilakukan juga tanpa disuruh. Saya pula akan mengungkap semula dalam IG Story.
"Jujurnya, saya rasa graf sokongan sama saja. Mungkin masa lebih banyak di rumah, jadi mereka lebih giat. "Saya bersyukur atas kasih sayang yang diberikan," katanya yang akan meneruskan penggambaran tertunda, drama Sayap Bagimu bergandingan dengan Alif Satar. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|