TALLAHASSEE, Florida – Bakal pasangan pengantin baharu dijangka boleh menganjurkan majlis perkahwinan mereka di angkasa lepas menjelang tahun 2024, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Majlis perkahwinan unik itu akan diadakan di dalam sebuah belon angkasa lepas bersaiz stadium padang ragbi yang terapung pada ketinggian 30 kilometer (km) di atas paras laut. Syarikat Space Perspective berpangkalan di Florida kini menjual tiket penerbangan dengan kapsulnya pada harga AS$125,000 (RM528,000) yang akan menyajikan pemandangan Bumi yang menakjubkan. Kapsul dibawa oleh belon angkasa gergasi itu boleh memuatkan hingga lapan tetamu ke ruang stratosfera untuk perjalanan yang mengambil masa enam jam.
Pakej tersebut sudah pun dibeli oleh beberapa pelanggan untuk acara kumpulan dan ada juga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan mereka di sana. Tiket pakej itu mula dijual sejak akhir Jun lalu. Penumpang akan menikmati pemandangan Bumi 360 darjah ketika berada di dalam kapsul yang dilengkapi dengan bilik mandi, bar dan akses Wi-Fi. Space Perspective yang diketuai oleh pasangan suami isteri Taber MacCallum dan Jane Poynter baru-baru ini memberitahu majalah Observer mengenai sambutan menggalakkan yang diterima sejak pakej penerbangan itu mula dijual. “Ini akan menjadi satu pengalaman yang gila. Belon akan berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy dan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai pada ketinggian 30 km. ‘Semasa proses menuju ke puncak, anda akan dapat melihat sejauh 724 km ke setiap arah, bermakna anda akan melihat seluruh semenanjung Florida, Bahamas dan Teluk Mexico,” kata Poynter. – CARI Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT