Setiap karya akan memberi cabaran baru buat pelakon yang membintanginya. Bagi Fify Azmi yang kini membintangi drama bersiri Ratu Ten Pin, cabarannya berbeza dan menjadi pengalaman baru buatnya.
"Pembikinan drama ini memang sangat mencabar sebab saya tak pernah bermain boling secara profesional. "Jadi, nak tahu mengenai peraturan dan sebagainya dalam sukan ini memang agak mencabar buat saya," katanya.
Menurut Fify yang memegang watak sebagai Reesz, untuk menguasai permainan dan fokus kepada lakonan, ia ada sesuatu yang mencabar keupayaannya. "Kami semua menjalani latihan supaya nampak seperti pemain boling profesional. Namun, pada masa sama, kami bukan main betul-betul. "Tapi, di depan kamera pula, kami perlu pastikan penghayatan lakonan itu menjadi. Memang mencabar untuk menyesuaikan semuanya," katanya.
Bagaimanapun, Fify bersyukur kerana mendapat bantuan daripada mereka yang berada di lokasi penggambaran. "Pasukan produksi semua saling membantu antara satu sama lain termasuklah pengarah yang juga banyak memberikan tunjuk ajar," katanya. Berkongsi mengenai watak Reesz, Fify menggambarkan watak itu sebagai gadis tomboi dan pada masa sama, penyayang.
"Reesz adalah gadis tomboi yang agak kasar. Tapi, pada masa sama, dia juga rapat dengan ibunya. "Apa yang boleh saya katakan, watak kali ini berbeza dengan lakonan saya dalam karya terdahulu kerana kali pertama saya memegang watak sebagai gadis tomboi," katanya.
Selain Fify, drama Ratu Ten Pin arahan Jinggo itu turut dibintangi Elisya Sandha, Syaidatul Afifah, Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|