Kuala Lumpur: "Saya terkejut apabila nama saya ada dalam pendaftaran sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) meskipun tidak pernah membuat permohonan," kata Ahmad Saifuddin Yusof, 38.
Ahmad Saifuddin yang juga seorang peniaga berkata, dia melihat hantaran kenalannya di Facebook yang memaklumkan nama mereka ada tersenarai melalui semakan sistem jabatan berkenaan secara dalam talian, hari ini. "Saya pelik apabila rakan memaklumkan bahawa dia menjadi anggota Rela meskipun tidak pernah memohon. Perkara itu menyebabkan saya terdorong untuk membuat semakan secara dalam talian menggunakan pautan yang dikongsikannya. "Saya terkejut apabila mendapati nama saya turut tersenarai dalam sistem jabatan itu dengan tarikh pendaftaran sejak 10 tahun lalu iaitu pada 12 Ogos 2011 padahal saya tidak pernah membuat permohonan sehingga kini," katanya ketika dihubungi, hari ini. Ahmad Saifuddin berkata, sepanjang tempoh dari tarikh pendaftaran sehingga kini, dia tidak pernah menerima sebarang surat pendaftaran atau maklum balas dari jabatan itu berhubung keanggotaannya. "Apa yang saya risaukan adalah maklumat keanggotaan itu disalah guna oleh pihak tertentu memandangkan kedudukan Rela sebagai agensi penguatkuasaan. "Malah, saya risau keanggotaan itu juga dimanipulasi pihak tertentu termasuk dari segi elaun yang diberikan jabatan berkenaan kepada anggotanya," katanya. Bagi pesara tentera, Engku Khairolizam Engku Azman, 47, pula memaklumkan dia pernah memohon untuk menjadi anggota Rela pada 2016 selepas bersara pada 2015. "Bagaimanapun, tiada maklum balas saya terima mengenai permohonan yang dibuat di pejabat Rela Batu Pahat, Johor. "Saya kemudian menghantar surat penolakan permohonan sebagai anggota RELA pada 2018 selepas dilantik menjadi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya ketika dihubungi, hari ini. Katanya, dia mengetahui mengenai perkara itu apabila kenalannya memaklumkan mengenai pendaftaran tanpa permohonan sebagai anggota Rela melalui hantaran di Facebook, hari ini. "Saya kemudian membuat semakan secara dalam talian melalui pautan yang dikongsi rakan dan mendapati nama saya ada dalam senarai jabatan itu dengan status masih dalam proses. "Namun, saya pelik dengan status berkenaan kerana pada senarai maklumat itu terdapat kod platun yang sama fungsinya seperti nombor badan dalam agensi penguatkuasaan seolah-olah sudah menjadi anggota secara rasmi. "Apa yang lebih pelik adalah tarikh daftar dinyatakan dalam semakan itu adalah tarikh lahir saya iaitu 3 November pada 2017 padahal saya membuat permohonan pendaftaran pada 2016 dan sepanjang tempoh itu, tiada maklum balas mengenai permohonan berkenaan sama ada diterima atau sebaliknya," katanya. Menurutnya, dia berhasrat untuk menghubungi Ibu Pejabat Rela, esok, untuk mengetahui perkara itu. "Malah, saya juga akan menghantar sekali lagi surat penolakan permohonan kepada pihak Rela kerana saya bimbang keanggotaan saya itu menyebabkan saya mungkin tiba-tiba dipanggil bertugas secara mengejut. "Ini kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana pendaftaran itu dibuat padahal tiada permohonan dibuat," katanya. Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Yahya Sulaiman ketika dihubungi, hari ini, memaklumkan pihaknya akan menyediakan kenyataan sebaik maklumat berkaitan isu berkenaan diperoleh. Semakan di laman sesawang jabatan itu mendapati jumlah keahlian terkini Rela adalah lebih tiga juta anggota membabitkan 1.8 juta anggota lelaki, manakala 1.2 lagi anggota wanita. Antara kelebihan anggota Rela yang dinyatakan adalah caj rawatan, kemudahan wad percuma dan perlindungan insurans bagi anggota terbabit dalam kemalangan ketika bertugas. Malah, anggota RELA juga mendapat latihan percuma di pusat-pusat latihan, elaun latihan dan bertugas RM6 satu jam dan pakaian uniform diberikan percuma dengan keahlian percuma. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT