Sejak kebelakangan ini ramai selebriti dilaporkan mula mengikuti jemaah tabligh bagi mendalami ilmu agama selain mendekatkan diri ke jalan Allah.
Penyanyi Datuk Awie, 53, juga tidak ketinggalan diajukankan soalan oleh peminatnya di media sosial selepas beberapa rakan artis seangkatan dengannya serta selebriti yang lebih muda dilihat berhijrah dengan mengikuti kumpulan tabligh. Mengulas mengenai perkara itu, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, cara dan jalan hidup seseorang tidak boleh ditentukan oleh sesiapa melainkan individu itu sendiri. "Siapa mereka nak tentukan jalan orang. Kalau saya pergi (ikuti jemaah tabligh), sampai 44 hari siapa nak bagi anak isteri saya makan.
"Saya bukan nak menyalahkan sesiapa, ikut merekalah nak ikut jalan mana nak mencari ilmu Allah. "Adakah kita perlu duduk dalam pertubuhan untuk cari jalan Allah? (Pendapat saya) lebih baik kita duduk berteleku mencari guru, one to one... tak faham boleh tanya orang," katanya kepada mStar. Awie ditemui pada majlis pelancaran produk sambal keluarannya, R-WE yang diadakan di Petaling Utama Avenue, Petaling Jaya pada Rabu. Tambah vokalis kumpulan Wings itu, dia tidak berniat untuk memperlekeh pertubuhan tabligh sebaliknya menghormati setiap jalan hidup yang dipilih oleh mana-mana pihak terutama dalam kalangan rakan artis. "Saya tidak membangkang sebab kita masing-masing ada jalan tersendiri (dalam mencari ilmu agama) dan kita perlu menghormatinya. Tak semestinya kita berpakaian sebegini, kita tak nak jumpa Tuhan. Adakah kita perlu ikut cara orang Pakistan, cara orang Arab seperti berjanggut, berjubah dan berserban itu baru kita nampak suci?" ujarnya.
|
ADVERTISEMENT