CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Pelakon Lagak Ngeri- Sabung Nyawa Tapi Bayaran Diterima Tidak Setimpal

15-3-2021 01:27 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 2182| Komen: 5

Di sebalik filem dan drama bergenre aksi, ada insan yang bertarung nyawa hidup dan mati, tetapi tidak pernah terbela.

Pelakon lagak ngeri atau 'stuntman' dilihat kebal dan gagah, namun jika silap langkah, maut menanti di depan mata. Keberanian tanpa batasan dan sanggup melakukan pelbagai aksi ngeri hingga hampir meragut nyawa bukan perkara luar biasa dalam hidup seorang pelakon lagak ngeri.


Berpegang prinsip pantang maut sebelum ajal, namun, kehadiran mereka sering kali dipandang sebelah mata. Permintaan menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri juga disifatkan bermusim, malah ada menerima bayaran tidak setimpal dengan nyawa yang dipertaruhkan.

Hingga kini, pelakon lagak ngeri tidak dinaungi mana-mana persatuan, sebaliknya berada di bawah naungan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA).


Foto: Via Berita Harian


Bagi Yank Kassim, 54, yang lebih sedekad berkhidmat sebagai pelakon lagak ngeri, kerjayanya sangat berisiko.

"Luaran nampak gah dan hebat, malah pelakon lagak ngeri juga dianggap kebal. Namun, sakit yang ditanggung terpaksa ditelan sendiri.

"Bayaran diterima ada kalanya tidak setimpal dengan khidmat diberikan. Lebih tragis, ada sesetengah produksi memilih menggunakan pelakon lagak ngeri yang tiada pengalaman dengan alasan mahu mengurangkan kos produksi.

"Akhirnya, aksi yang diharapkan tidak mencapai piawaian, dibuat secara 'cincai' hingga berlaku kemalangan dan mengorbankan nyawa. Malah, ada pelakon lagak ngeri bukan sekadar menerima bayaran 'ciput', insuran pun tiada," katanya kepada BH Online.

Yank berkata, dia bukan sekadar menjadi pelakon lagak ngeri, malah menyelaras urusan berkaitan dengan babak aksi.

"Ini termasuklah mengarah babak, menjaga keselamatan dan berkongsi idea untuk babak aksi ngeri yang diingini.

"Saya mengambil inisiatif menubuhkan Kelab Yank's Stunt Club Communities. Tidak ramai dalam komuniti ini, ada juga yang bergerak sendiri. Bagaimanapun, di luar negara ada persatuan khusus untuk membela nasib pelakon lagak ngeri.

"Orang luar tidak tahu betapa perit menjadi pelakon aksi ngeri. Ada yang patah pinggang, tulang rusuk dan pecah kepala, tetapi tidak dihebohkan," katanya.


Yank Kassim

Yank berkata, hingga kini, bakat dan khidmat golongan pelakon lagak ngeri tidak pernah diiktiraf dalam mana-mana anugerah.

Namun, katanya, hanya PROFIMA mengangkat golongan pelakon lagak ngeri dalam Anugerah PROFIMA yang dianjurkan.

"Bukan meminta atau mengharap, tetapi inilah realiti. Biarpun ramai tidak menghargai pengorbanan pelakon lagak ngeri, namun masih ada produksi yang sanggup melaburkan sejumlah wang setimpal dengan tanggungjawab yang dilakukan.

"Tidak dinafikan, masih ada syarikat produksi yang menjaga kebajikan, bukan setakat menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri. Bagaimanapun, penyelenggaraan babak aksi perlu mengikut prosedur yang betul, selain perlu disertai dengan insuran perlindungan.

"Apabila segala keperluan disediakan, pelakon lagak ngeri tidak buang masa dan tenaga. Ada yang penyelenggaraan babak tidak dirancang dengan betul, kerja jadi huru-hara. Lantas, fokus lari hingga boleh menyebabkan kemalangan atau kecederaan," katanya.

Yank berkata, khidmat golongan pelakon lagak ngeri ada turun naik permintaannya ketika pandemik COVID-19.

"Apabila pandemik ini menular, banyak perkara yang terbatas. Walaupun ada penggambaran berskala besar boleh dibuat, tetapi babak berat dan aksi agak terhad. Ia juga terbatas disebabkan prosedur operasi standard (SOP) dan hanya dilakukan dalam studio," katanya.

Tidak hanya bersandarkan pengalaman, Yank turut menyertai kursus bagi memperkuatkan skil pertahanan yang dimiliki.

"Ada kalanya produksi luar tidak pandang pelakon lagak ngeri tempatan kerana tidak memiliki kelayakan dan pentauliahan. Jadi, sukar mahu meletakkan harga tinggi.

"FINAS pernah menganjurkan kursus aksi ngeri secara asas. Nak buat kursus secara lanjutan terbatas dengan kelengkapan yang dimiliki. Bagaimanapun, tiada kemampuan mengikuti kursus di luar negara, yurannya terlalu mahal.

"Saya pernah menyertai kursus lagak ngeri di Hong Kong pada 2007 dan Australian Stunt Academy, Queensland, Australia selama dua bulan pada 2014," katanya.

Sementara itu, Ubai Amir, 33, pula selesa bergerak sendiri.

Ubai pernah berkhidmat untuk filem Coastguard, Wira, Polis EVO 2 dan drama siri, Jibril Vie, KL Vampire, KL Wangan dan Black 2.

"Konsep kami lebih kepada komuniti. Jika ada lubang kerja, kami berkongsi rezeki. Saya juga boleh melakukan kerja membabitkan keselamatan dan membentuk babak aksi ngeri.

"Dahulu, ada golongan otai yang dikenali seperti Team Ameng, Team William dan Team James.

"Tak dinafikan, kerjaya pelakon lagak ngeri tidak dipandang di Malaysia, namun produksi luar ada yang menghargainya. Kerjaya ini bukan tidak popular, tetapi istilah paling sesuai ialah kurang disebut," katanya yang pernah bekerja dengan produksi luar untuk filem City Of Chaos, Special Cop dan beberapa drama bersiri seperti Strike Back dan Our Girl.

Ubai berkata, apa yang diutamakan adalah keselamatan ketika bekerja.

"Ada pergerakan sukar seperti menggunakan tali kabel khusus untuk aksi lagak ngeri. Skop kerja kami bukan berlawan dan beraksi sahaja.

"Malah, kisah cinta yang ada babak berlari juga memerlukan bantuan kami," katanya yang juga guru silat dan sudah 11 tahun bergelar pelakon lagak ngeri.

Ubai berkata, ada yang menganggap tugasan pelakon lagak ngeri tidak lebih menahan diri daripada dipukul dan disakiti.

"Saya akui, produksi luar suka cara pelakon lagak ngeri di Malaysia. Mereka menghargai kami yang tekun bekerja dan menerima setiap arahan.

"Namun, berbeza pula dengan produksi tempatan. Golongan kami kurang diberi perhatian. Ibaratnya, pekerja seperti kami tidak boleh tunjuk sakit. Ini kerana mentaliti mereka, pelakon lagak ngeri sudah biasa 'disakiti' dengan bayaran rendah," katanya.

Bagi Muhammad Fauzan Mohd Dohir, 25, cara kerja golongan pelakon lagak ngeri terbentuk secara gerakan atau berada di bawah satu kepala dalam komuniti berkenaan.

Malah, katanya, seperti pelakon luar negara, artis tempatan juga ada yang berani melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

"Sebagai contoh, Shaheizy Sam, Hairul Azreen dan Kamal Adli, tetapi semuanya bergantung kepada tahap risiko.

"Jika terlalu berbahaya dan berisiko, pengarah akan mencadangkan penggunaan 'double stunt'. Di sinilah, khidmat pelakon lagak ngeri seperti kami diperlukan," katanya.

Muhammad Fauzan sudah empat tahun bekerja sebagai pelakon lagak ngeri berkata, dia sedar pekerjaan dilakukan tidak popular di kalangan penonton.

"Bagaimanapun, ia sangat penting untuk karya bergenre aksi. Permintaan khidmat pelakon lagak ngeri bergantung kepada keadaan dan bermusim," katanya yang turut mencari rezeki sebagai jurugambar dan guru silat. -CARI

Sumber: Berita Harian

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Anda Mungkin Meminati

Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Belibis 15-3-2021 01:54 PM
Nak jimat buat sendiri la.macam jackie chan.kalau tak,buat drama megah holding jer,takde lompat2, terbang2.
Quote adelea 15-3-2021 02:49 PM
klu nak bayaran setimpal..

silalah join marvel or DC stuntmant
period !!
Quote adeqbun 15-3-2021 02:53 PM
Buat part time jd MUA la..lepas lompat terjun..smbung keje mekap2..dpt la double pay
Quote rajamoney 15-3-2021 03:06 PM
bkn yank kassim ni bwk watak crook ke?

bila lak ko buat stunt yank?

Quote lavendernovella 15-3-2021 03:46 PM
Cuba nasib kat luar negara jer. Takder apa nak diharap dah dengan industri tempatan.  

Lihat semua komen(5)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 09:49 PM GMT+8 , Processed in 0.081120 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top