Kami tak bercinta Belum selesai isu pertikaian kontrak MIG Talent yang dikatakan tidak relevan apabila tidak membenarkan artisnya bercinta, timbul pula cerita dua artisnya, Mikail Andre dan Atikah Suhaime terbabit cinta lokasi hingga dinasihatkan memberi tumpuan kepada kerja, bukan cinta. Dua bintang utama filem Highland Tower ini menafikan mereka bercinta ketika bertandang ke Balai Berita, Rabu lalu. Tegas mereka, hubungan yang terjalin tidak lebih daripada kenalan rapat, malah mereka belum terdesak mengejar cinta memandangkan masing-masing baru berusia 21 dan 22 tahun.
“Mungkin cerita ini timbul apabila nampak kami mesra di lokasi penggambaran drama Rawan, filem Lagenda Budak Hostel, Muka Surat Cinta dan Highland Tower. “Dalam Highland Tower misalnya, sebagai tulang belakang projek ini, saya kena jaga keselamatan mereka yang terbabit. Atikah kena rasuk dan sebab itu saya kena jaga dia.
“Begitu juga dengan Shima. Saya rasa bersalah apabila mereka terpaksa berdepan saat sukar itu semata-mata mahu jayakan projek ini. “Saya baru berumur 21 tahun, terlalu muda rasanya untuk kejar cinta. Banyak perkara lagi yang perlu saya utamakan,” katanya. Atikah pula berkata, tujuannya berhijrah ke Malaysia untuk cipta nama sebagai pelakon berjaya, bukan memburu cinta. Setakat ini niat itu masih berjaya dipertahankan, malah hatinya belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki. Katanya, satu pembaziran pula andai peluang diberikan MIG dipersiakan begitu saja. Justeru, dalam tempoh beberapa tahun ini gadis Singapura itu perlu mengosongkan hatinya, sebaliknya fokuskan sepenuh perhatian terhadap karier terlebih dulu. “Saya selesa berkawan dengan Mikail kerana orangnya tidak kedekut ilmu dan sangat menghormati orang. Sebagai pendatang baru, saya perlukan bimbingan rakan lebih berpengalaman. Apatah lagi saya tidak ada asas lakonan, dialah yang beri tunjuk ajar. “Dia kawan yang baik dan hubungan kami tidak lebih dari itu. Kalau nak bercinta, biarlah berjaya dulu. Buat masa ini saya belum bersedia kerana bagi saya, bercinta hanya akan mengganggu emosi dan fokus saya. Tujuan saya datang ke sini adalah bina nama dan bukannya mencari cinta. Kalau nak bercinta, di negara sendiri pun boleh, tak perlu merantau. Saya pun tak pernah terfikir mahu berkahwin dan memikul tanggungjawab sebagai ibu ketika usia muda. Sebelum ini mak ayah kongkong saya dan apabila dapat hidup berdikari, kenapa pula saya perlu beri peluang kepada orang lain untuk kawal pergerakan saya." “Waktu belajar dulu saya pernah bercinta tetapi rimas apabila bekas kekasih asyik mahu tahu mana saya pergi. Saya tidak mahu perkara sebegitu berulang. “Rasanya umur paling sesuai untuk saya bercinta dan berkahwin adalah 28 tahun ke atas. Perjalanan saya masih jauh, biar saya raih kejayaan sebanyak mungkin dulu,” katanya yang menafikan wujudnya istilah cinta lokasi antaranya dan Mikail. MIKAIL dan Atikah hanya kenalan rapat. Mengenai larangan daripada pengurusan MIG, Mikail menafikan hubungan mereka dihalang tetapi dinasihatkan supaya memberi keutamaan kepada kerja. Katanya, jika nama sudah terkenal dan ada kewangan kukuh, mereka tiada alasan untuk berkahwin. “Setakat ini pengurusan, terutama David Teo, tidak menghalang jika dua perkara itu ada pada artis yang mahu menjalin hubungan secara serius. David juga tidak menghalang artisnya berkahwin. “Malah, sebelum ini pun selalu berpesan kalau jujur mahu bercinta dan berkahwin, terus-terang saja. Sebagai bapa yang sayang anak, dia akan sokong jika kita serius tapi kena pastikan dulu ekonomi kukuh dan ada nama. “Hakikatnya, kewangan saya belum stabil, jadi kenapa perlu tergesa-gesa bercinta. Apa yang David cakap ada betulnya. “Sebagai lelaki, kita kena pastikan diri benar-benar berkemampuan sebelum ambil keputusan untuk bercinta atau berkahwin. Ini kerana tanggungjawab jawab kita besar,” katanya. Berkongsi pengalaman menjayakan Highland Tower, niat mahu belajar kerja belakang tabir dan melihat sejauh mana kebenaran cerita seram yang diperkatakan ramai mengenai bangunan ‘berhantu’ itu meninggalkan kesan besar dalam hidup Atikah. Selama ini dia tidak percaya kewujudan dunia mistik, namun persepsinya berubah apabila berdepan pengalaman menakutkan sepanjang enam hari penggambaran. Paling tidak dapat dilupakan, dia berjaya merakam gambar entiti berwajah monyet menerusi telefon bimbitnya dan dirasuk ketika penggambaran. “Sebelum ini saya pernah terbabit dengan projek memburu entiti di Singapura tetapi hampa apabila projek itu tidak berjaya. Apabila saya ditawarkan terbabit dalam filem ini, saya terus bersetuju. “Kami dapat rakamkan gambar satu entiti dan itu buat saya sangat teruja untuk cari lagi. Bagaimanapun, apabila Shima dirasuk pada hari ketiga, saya panik dan gagal kawal perasaan takut. “Itu kali pertama saya tengok orang dirasuk. Ketika itu saya lari tetapi tiba-tiba rasa seperti terbang di awan biru dan kemudian pengsan. “Apabila sedar, saya tengok balik rakaman dan dapat lihat keadaan sebenar saya ketika itu. Saya lari sana sini dan menjerit, walhal ketika itu saya sangka saya pengsan. “Itulah padahnya bila terlalu seronok dan tak jaga mulut. Mikail banyak kali tegur saya jangan suka sangat dan jangan ambil barang, tetapi saya tak dengar cakap. Saya nampak kalendar tahun 1993 dan pegang, bila kena marah saya letak balik. “Saya kemudian baca mantera yang diconteng di satu dinding bangunan itu. Insiden itu jadi pengajaran besar buat saya,” katanya yang berpuas hati dengan filem yang mengetengahkan konsep rakaman sebenar itu. Selaku pencetus idea, Mikail berharap Highland Tower arahan Pierre Andre dapat diterima ramai. Projek yang bermula dengan hobi dan kemudian diterima MIG untuk diangkat ke layar perak, cukup bermakna buatnya dan menjadi pemangkin semangat untuk terus menghasilkan karya segar dan bermutu. |
rosasa posted on 3-11-2013 11:20 AM
Mikail ni adiknya Piere , Atikah ni retis baru kesayangan MIG
dorang blakon sama2 jah dalam Hi ...
ADVERTISEMENT