Cadangan mengarahkan pekerja kilang memakai peranti penjarakan sosial yang kelihatan seakan-akan`kolar anjing’ dan mengeluarkan bunyi penggera sekiranya berdiri terlalu rapat sesama individu lain mencetuskan bantahan di Perancis.
Lapor Daily Mail, peranti itu yang boleh dipakai di leher atau pinggang akan mengeluarkan bunyi amaran sekuat 85 desibel dan mungkin menghasilkan getaran atau menyala jika gagal mematuhi jarak dua meter. Syarikat dari Sweden, Essity yang mengeluarkan produk kebersihan dan mempunyai kira-kira 2,500 pekerja di Perancis memaklumkan pihaknya bercadang untuk memperkenalkan gajet tersebut. Syarikat itu mendakwa langkah tersebut bertujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya wabak Covid-19 berlaku di kilang berkenaan. Sebuah persatuan di Perancis mengutuk cadangan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘serangan terhadap kebebasan individu yang memberi layanan teruk kepada golongan pekerja kilang’. Persatuan Buruh Demokratik Perancis juga menegaskan peranti itu tidak akan meningkatkan pengesanan kontak kerana tidak dapat mengesan lokasi pemakai malah semua data itu tiada butiran nama. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT