Miami: Niat seorang lelaki di Florida, Amerika Syarikat (AS) adalah untuk melindungi keluarga daripada ancaman bahaya, tetapi lain jadinya apabila dia tidak sengaja menembak isterinya yang hamil.
Insiden itu berlaku apabila lelaki berkenaan menyangka ada perompak cuba memecah masuk rumahnya. ABC News melaporkan Sheriff daerah Martin County, William Snyder mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi pada Rabu lalu di Stuart, dekat sini. Menurut Snyder, lelaki berkenaan memberitahu pegawai penyiasat yang dia tidak sedar isterinya tiada di dalam bilik ketika kejadian. Selepas menembak mangsa, dia terus menghubungi talian bantuan kecemasan dan memaklumkan tidak sengaja menembak isterinya.
"Suami mangsa memberi penjelasan terperinci dan memberitahu dia terjaga pada tengah malam selepas terdengar bunyi seperti ada individu lain berada di dalam rumah. "Sebelum pergi meninjau, lelaki itu membawa bersama pistol bertujuan untuk melindungi diri seandainya berlaku kejadian tidak diingini. "Sebaik melihat kelibat orang, lelaki itu terus melepaskan tembakan dan malangnya, mangsa adalah isterinya sendiri," katanya. Menurut Snyder, mangsa yang hamil enam bulan dilaporkan meninggal dunia di hospital, lapor WPBF. Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ada di dalam rumah ketika kejadian tidak mengalami kecederaan. Namun, pejabat Sheriff tidak mendedahkan identiti mangsa dan suaminya bagi melindungi mereka seperti mana yang termaktub di dalam undang-undang. "Insiden ini ibarat satu mimpi ngeri kerana seorang suami yang mahu melindungi keluarga tidak sengaja membunuh isterinya. "Siasatan lanjut berhubung insiden itu masih dijalankan," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT