Sepintas lalu tentang teori Big Bang yang menjadi kajian saintis Barat tentang asal usul kejadian alam semesta. Ia satu model kosmologi yang menerangkan tentang bagaimana alam semesta (universe) terjadi. Menurut teori ini alam semesta dahulunya adalah dalam keadaan yang sangat panas dan tumpat. Akibat daripada ketumpatan dan kepanasan yang sangat tinggi, berlakunya cosmic explotion iaitu satu letupan besar yang terkenal dengan namanya sekarang iaitu Big Bang.. tapi bukan kumpulan KPop tu ya. Kejadian ini dianggarkan berlaku sekitar 13.75 billion tahun dahulu. Ia bermula dengan satu ledakan dan alam semesta mula berkembang sehingga menjadi cakerawala yang wujud sekarang ini. Pendek kata seluruh astronomi menerima teori ini kerana dilihat memberikan penerangan yang paling tepat dan lengkap berkaitan kejadian alam semesta.
Namun adakah benar Big Bang adalah satu letupan besar yang sangat dasyat? Ramai yang salah faham dan tak kurang juga yang menafikan teori ini. Oleh itu, jom kita baca berkenaan salah faham umum mengenai teori Big Bang yang dipetik dari ajar.com.my. 5. Big Bang ialah satu letupan yang menghasilkan alam semesta Inilah salah faham yang paling utama berkenaan teori Letupan Besar. Apabila kita dengar perkataan “Letupan” Besar atau Big “Bang”, kita akan terbayang keadaan alam semesta ini pada mulanya meletup dengan besar sehingga membentuk alam semesta kita hari ini. Kita juga terbayang letupan besar ini mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Namun pada hakikatnya, letupan besar ini sangat berlainan daripada tanggapan umum. Pada kelahiran alam semesta, keseluruhan alam semesta ini termasuklah bintang, galaksi, dan juga ruang-masa berasal dari satu titik yang dikenali sebagai ‘kesinggularan’ (singularity). Titik ini kemudian mengembang kepada alam semesta yang kita lihat pada hari ini. Pengembangan inilah yang dikenali sebagai “Big Bang”. 4. Big Bang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat Letupan yang kita faham seperti letupan mercun dan bom akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Jadi, apabila permulaan alam semesta dikatakan sebagai letupan besar, maka kita anggap bahawa ia mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Namun pada hakikatnya, letupan besar atau lebih tepat lagi pengembangan awal alam semesta ini, langsung tidak mengeluarkan bunyi. Penjelasan ini mudah sahaja untuk difahami. Oleh sebab letupan besar ini sebenarnya ialah pengembangan, maka tidak ada yang ‘meletup’ untuk menghasilkan bunyi. 3. Big Bang berlaku di satu kawasan khusus Apabila kita fikirkan tentang letupan mercun, mercun tersebut meletup ke persekitaran. Asal-usul letupan itu adalah daripada mercun tersebut. Jadi, menjadi kebiasaan jika kita bertanya ‘di manakah berlakunya letupan besar?’. Adakah wujud satu titik khusus di angkasa yang merupakan titik asal-usul letupan besar atau alam semesta?. Jawapannya tidak. Letupan besar ini adalah pengembangan keseluruhan alam semesta. Pada asalnya, kesemua alam semesta ini adalah satu dan kemudian terpisah kepada semua yang kita lihat hari ini. Ruang dan masa itu sendiri adalah satu sebelum ia mengembang. Antara persoalan seterusnya yang akan ditanya ialah ‘jika alam semesta itu mengembang, ia mengembang kepada apa?’ dan ‘apakah ‘disebalik’ alam semesta ini?’. Persoalan ini mungkin akan dikongsi dalam artikel akan datang, InsyaAllah. 2. Big Bang hanyalah sebuah teori tanpa pembuktian Ini satu lagi salah tanggap yang popular terutamanya dalam kalangan mereka yang langsung tidak pernah mengkaji sedikitpun berkaitan teori ini. Teori letupan besar ini bukanlah satu teori atas kertas sahaja dan ia bukan juga teori konspirasi tertentu. Sebelum tahun 1920-an, ahli astronomi menyangka bahawa alam semesta ini sebenarnya adalah statik dan tidak bergerak. Malah mereka juga menyangka alam semesta ini tidak mempunyai umur (umurnya infiniti). Inilah pegangan ahli-ahli astronomi, fizik dan lain-lain pakar dalam bidang ini termasuklah Albert Einstein. Namun pada tahun 1920-an, ahli astronomi Edwin Hubble mendapati bahawa alam semesta ini berkembang dan bukan statik. Kemudian pada era 1950-an, teori letupan besar dikukuhkan lagi dengan penemuan isyarat gelombang mikro dari langit yang dikenali sebagai Sinar Latar Belakang Gelombang Mikro Kosmik (Cosmic Microwave Background Radiation). Selepas teleskop-teleskop dihantar ke angkasa untuk mencerap, banyak lagi penemuan baharu yang menyokong teori letupan besar ini. 1. Big Bang menerangkan sepenuhnya asal-usul alam semesta Asal-usul alam semesta boleh diterangkan oleh teori letupan besar merupakan salah tanggap yang paling ‘akademik’ kerana mereka yang pernah mengkaji bidang ini pun terperangkap dengan salah tanggap ini. Teori letupan besar ini menyatakan bahawa alam semesta ini asalnya ialah satu, dan termampat kesemuanya dalam titik kesinggularan, kemudian ia mengembang kepada keadaan hari ini. Teori ini tidak menerangkan ‘apa yang mencetuskan titik kesinggularan ini mengembang’ atau ‘dari mana munculnya titik kesinggularan yang mengandungi keseluruhan alam semesta ini’ atau ‘apa yang wujud sebelum letupan besar’. Kesimpulan Teori letupan besar ini kerapkali kita dengar dalam program-program sains, dan kadang-kala kita juga mungkin pernah bertanyakan soalan ini. Bagi yang muslim, kita percaya bahawa semua makhluk ini ada awalnya. Jadi, teori Big Bang ini adalah salah satu bukti bahawa alam semesta ini juga ada awalnya. Yang tiada awal dan tiada akhir, hanyalah Allah SWT, yang menciptakan segala-galanya. Selain itu, teori dan penemuan saintifik juga secara tak langsung telah membuktikan kebenaran apa yang telah diberitahu didalam Al- Quran. - CARI Sumber : ajar.com.my |
kertasputih replied at 9-10-2020 12:28 PM
alQuran dah sebut pasal the big bang, 1,400 tahun yang lalu!
ADVERTISEMENT