![]() KITA biasa mendengar pandangan bahawa 'anak lelaki lebih manja dengan ibu, manakala anak perempuan pula dengan bapa'. Begitu juga yang dialami oleh pasangan Beckham. Menurut David Beckham, dia lebih rapat dengan anak perempuannya, Harper Seven, yang kini berusia dua tahun. Malah pemain bola sepak terkenal ini mengakui, walaupun sibuk dengan karier, mengalas tanggungjawab sebagai bapa tetap menjadi keutamaannya, lebih-lebih lagi bila melibatkan anak perempuannya. "Tidak dinafikan anak saya Harper Seven terlalu manja dengan saya, berbanding dengan ibunya. "Pernah juga Victoria menasihatkan saya supaya jangan terlalu memanjakan anak, tapi saya tidak sanggup melihat anak-anak menangis," kata bapa kepada tiga lagi cahaya mata, Brooklyn, 14, Romeo, 10, dan Cruz, 7. Beckham berkata, dia bagaimanapun bukannya mahu bersikap pilih kasih, namun perhatian harus diberi lebih kepada Harper yang masih kecil. Puji anak sulung Dalam pada itu, Beckham turut memuji anak sulungnya, Brooklyn yang mempunyai sikap penyayang dan gemar memberikan sumbangan kepada orang lain. Menurut Beckham, Brooklyn seorang anak yang berfikiran matang dalam segala hal. Tanpa arahan, setiap hujung tahun anaknya itu akan mengumpulkan pakaian untuk didermakan kepada golongan yang kurang berkemampuan. "Saya puji sikap dan tingkah laku yang ada dalam dirinya, walaupun masih muda tapi cara pemikirannya dilihat seperti orang dewasa. "Brooklyn juga menganggap dengan melakukan sedemikian ia akan memberikan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan. "Saya dan Victoria sangat berbangga mempunyai anak sepertinya," kata Beckham.
|
ADVERTISEMENT