Selain melakukan pemeriksaan secara berkala, vokalis kumpulan Umbrella yang pernah menjadi kegilaan ramai pada pertengahan 1990-an menjadikan aktiviti berjoging serta bersukan di gimnasium sebagai rutin. Ketika bertemu penulis beberapa minggu lalu, Zarul berkongsi hobi barunya iaitu mendaki Bukit Broga yang terletak di Semenyih, Selangor, malah tidak keberatan membenarkan Metro Ahad merakam aksinya melakukan aktiviti sihat itu. Bagaimanapun, dek kerana kekangan masa, lokasi terpaksa ditukar ke Batu Caves yang menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia, terutama penganut agama Hindu. Bagai dijanji, seawal jam 10 pagi Zarul tiba, malah bersedia mendaki 272 anak tangga. Ternyata mendaki kompleks kuil Batu Cave yang terletak di ketinggian 100 meter dari dasar laut adalah ‘kacang’ bagi penyanyi yang popular dengan lagu Ramalanku Benar Belaka itu.
“Sudah lama saya tak ke sini. Biasanya saya berjoging di sekitar kawasan perumahan empat kali seminggu dan jika terbang ke luar negara, saya habiskan masa dengan aktiviti gim di hotel. “Sebenarnya, saya aktif bersukan sejak di bangku sekolah tetapi apabila masuk alam pekerjaan makin kurang aktif sebelum giat kembali apabila berat badan naik tahun lalu. “Kepala saya selalu rasa pening, lebih-lebih lagi apabila mahu duduk atau bangun dari duduk. Syukur lepas kerap berjoging, saya tidak alami pening kepala lagi,” kata bapa kepada seorang anak ini. Antara sebab lain dia prihatin dengan kesihatan adalah bagi mengurangkan risiko mewarisi penyakit kencing manis yang dideritai keluarganya. Setakat ini hasil pemeriksaan doktor, dia bebas kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. “Pada usia sekarang, saya kena jaga kesihatan. Selain amalkan pemakanan sihat, kena kerap bersenam. Kalau ada kelapangan, saya dan isteri akan mendaki Bukit Broga. Selain keluarkan peluh, kami dapat melihat pemandangan indah dari puncak bukit. “Isteri tak suka berjoging tapi kalau ajak ke Bukit Broga, dia mesti ikut. Biasanya kami mulakan pendakian jam 6 petang, sempatlah tengok matahari jatuh. Panorama ketika itu sangat cantik hingga tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata. “Bukan tak suka tengok matahari naik, tapi saya lebih terpanggil menikmati pemandangan matahari terbenam. Warna langit ketika itu sungguh menakjubkan. “Insya-Allah, saya akan jadikan amalan mendaki Bukti Broga sebagai antara aktiviti wajib jika berada di ibu kota,” katanya. Menyentuh sambutan single Ramalanku Benar Belaka 2013, Zarul terharu dengan penerimaan positif generasi muda. Sejak ia berkumandang, ramai remaja mula mengikuti perkembangannya di laman sosial. Objektif merakam semula lagu itu bagi menarik perhatian pendengar muda nampaknya berjaya, namun dia menerima dengan lapang dada apabila kebanyakan pendengar yang lahir sezaman dengannya lebih sukakan lagu asal. “Sebenarnya, single ini mukadimah saya sebelum muncul dengan karya baru. Niat saya mahu tarik perhatian pendengar muda dan harap mereka dapat terima saya. “Setakat ini saya ada beberapa lagu, tinggal lagi perlu pilih dan tunggu masa sesuai untuk rakam. Selain lagu solo, saya akan berduet dengan penyanyi wanita popular. “Setakat ini perkara itu masih dalam perbincangan dan saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya yang berkhidmat sebagai anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) pada 2000 hinggalah kini. Zarul juga tidak ketinggalan menzahirkan perasaan bersyukur apabila ramai menyokong kemunculan semulanya selepas menjayakan persembahan majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012. Sejak itu, dia menerima lamaran daripada pelbagai pihak untuk menjayakan persembahan, malah beberapa komposer menawarkan lagu untuk didendangkan. |
ADVERTISEMENT