Selain menjadi pengacara dan penyanyi, umum pasti mengetahui Alif Satar juga ada bakat berlakon. Ini dibuktikan dengan lakonannya sebagai Zafran dalam drama bersiri Pia yang menjadi sebutan ramai beberapa ketika dulu. Terbaru, Alif bakal muncul dengan drama bergenre komedi aksi 'Family Spy' terbitan Astro. Drama itu turut dibintangi Che Ta, Sham Visa, Sharifah Shahirah, Datin Maria Farida, Nynaa Harizal dan Charis Chow. Alif bagaimanapun tidak menyangka bekerjasama dengan Rozita Che Wan atau Che Ta menjadi sesuatu yang luar biasa dan menghiburkan.
Kongsi Alif, meski kehadiranya dalam industri hiburan sudah mencecah 14 tahun, namun ini merupakan kali pertama bergandingan dengan pelakon wanita itu. "Selama saya 14 tahun dalam industri, saya tak pernah jumpa dia (Che Ta) untuk berborak panjang dan duduk satu meja. "Walhal, industri hiburan tempatan kecil sahaja, saya tidak begitu mengenali dia sebelum ini," katanya yang dipetik dari Media Hiburan.
Alif juga mengagumi keperibadian Che Ta yang disifatkan peramah dan tidak kekok berkongsi ilmu lakonan. "Bekerja dengan Che Ta sangat seronok dan menghiburkan. Dia juga seorang yang baik. Kadang-kadang 'pecah perut' juga apabila dengar dia berleter dalam loghat utara.
"Saya sangkakan dia seorang diva dan diibaratkan seperti sebuah pasu bunga kurun ke-18 yang perlu dijaga dalam kaca bersama beberapa orang pengawal. "Ia kelihatan sangat mahal dan perlu dilindungi sebaik mungkin. "Tetapi, apabila masuk sahaja di set pengambaran, baru saya tahu dia seorang yang 'masuk air' dan sama-sama belajar untuk mendalami karakter dengan jayanya," ujarnya. Family Spy akan disiarkan bermula 11 Mac jam 9 malam di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631). Bolehlah tengok sejauh mana chemistry Alif dan Che Ta dalam drama ni nanti. - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|