Dalam satu adegan filem Rock 4: Rockers Never Die arahan sutradara Mamat Khalid yang memaparkan kumpulan Rimba Bara 2 dianggotai Rayyan lakonan Adam John, Omar (Hazama), Seri (Bulan Terry) dan Acap (Nazimi Fahmi) telah mengembalikan semula nostalgia pada lagu 'Hilang Gelap Timbullah Terang' yang popular pada awal 1980-an. Lagu nyanyian kumpulan Sweet Charity ditunjangi Papa Rock, Datuk Ramli Sarip itu terkandung dalam album Sejuta Wajah yang diterbitkan pada 1981.
Ia sebenarnya cover daripada dendangan asal penyanyi Indonesia, Toar Tangkau dengan judul asalnya, 'Habis Gelap, Timbullah Terang' yang telah dirakam pada akhir 1970-an. Lirik lagu ciptaan Rudy R berkenaan diinspirasi daripada kesyukuran Pahlawan Nasional Indonesia, Raden Adjeng Kartini setelah mengetahui terjemahan surah al-Fatihah daripada ulama besar, Kyai Sholeh Darat atau nama sebenarnya, Kyai Sholeh Umar. Menurut cucu Kyai Sholeh, Fadhila Sholeh sewaktu diwawancara dalam portal blokbojonegoro.com, Kartini berkata bahawa sebelum ini dia tidak pernah memahami maksud sebenar dari surah al-Fatihah. "Selama ini, al-Fatihah gelap bagi saya. Saya tak mengerti sedikitpun maknanya. Tetapi, sejak hari ini ia menjadi terang-benderang sampai kepada makna tersiratnya," katanya. Ujar Fadhila, kebanyakan penganut Islam di Indonesia pada waktu itu membaca al-Quran tanpa mengetahui maksudnya. Difahamkan, Kyai Soleh yang berasal dari Darat, Semarang, Jawa Tengah secara senyap-senyap mentafsir kitab suci itu ke dalam bahasa Jawa yang diberi nama Kitab Faidhur-Rohman. Kitab tersebut kemudiannya dihadiahkan kepada Kartini sebagai hadiah perkahwinannya dengan R.M. Joyodiningrat. Kartini yang teruja dengan hadiah itu sering mengungkap perkataan 'Dari gelap menuju cahaya' dalam surat-surat kiriman kepada teman-temannya di Eropah dalam bahasa Belanda. Kalimah itu diambil Kartini yang lahir pada 21 April 1879 daripada tafsir ayat 257 sural al-Baqarah yang bermaksud : "Orang-orang beriman dibimbing Allah dari gelap menuju cahaya." Ayat 'Dari gelap menuju cahaya' atau 'Door Duisternis Toot Licht' dalam bahasa Belanda berkenaan kemudian diterjemah sebagai 'Habis Gelap Terbitlah Terang' yang menjadi judul kepada buku kumpulan surat-menyuratnya. Buku tersebut diterbitkan Menteri Kebudayaan, Agama, dan Kerajinan Hindia Belanda, J.H. Abendanon pada 1911 iaitu tujuh tahun selepas kematian Kartini tidak lama setelah melahirkan anak lelakinya pada usia 25 tahun. Kumpulan surat-surat Kartini telah diulang cetak dan diterjemah dalam pelbagai bahasa seperti Melayu, Jawa, Sunda telah membangkitkan semangat anti penjajahan terutama dalam kalangan wanita. Pemerintah Indonesia kemudiannya menobatkan Kartini sebagai Pahlawan Nasional pada 1964 dan menetapkan 21 April sebagai Hari Kartini. - CARI
|
ADVERTISEMENT