oleh Adib Za
Dikemaskini 9 Mei 2016/ 12.15 tengahari Mayat terakhir nahas helikopter di Sarawak telah ditemui kira-kira jam 10.45 pagi tadi sekitar kawasan Triso, Sebuyau. Juruterbang warga Filipina itu dibawa ke Hospital Umum Kuching menaiki helikopter. Mayatnya ditemui berhampiran satu serpihan helikopter kira-kira 20 kilomoter daripada Pusat Operasi SAR di pekan Lingga.
Bangkai utama helikopter masih dijejaki sehingga kini. Sumber: Berita Harian ------ Oleh Izzah Abbasy Dikemaskini 7 Mei 2016 Lima Mayat Ditemui, Pencarian Seorang Lagi Mangsa Diteruskan Sejumlah lima mayat daripada nahas helikopter di Sarawak pada Khamis dijumpai setakat ini apabila empat lagi ditemui hari ini dan usaha giat dilakukan untuk mencari seorang lagi mangsa. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman mengenal pasti mayat ketiga sebagai Ahmad Sobri Harun, pengawal peribadi Noriah. Ketiga-tiga mayat itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak di sini, manakala mayat terbaru kini dalam proses untuk dihantar ke hospital itu. Mayat keempat dan kelima belum dikenal pasti. Jenazah Noriah diterbangkan ke Kuala Lumpur malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong, Selangor awal pagi hari ini. Noriah bersama-sama suaminya Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Dr Sundaran dan Ahmad Sobri menaiki pesawat berkenaan yang dipandu Kapt Rudolf Rex Ragas. Helikopter itu berlepas dari Betong untuk ke Kuching pada 4.12 petang Khamis dan tidak dapat dikesan tidak lama kemudian. Hampir 200 anggota pasukan penyelamat dikerah mencari mangsa terakhir di kawasan seluas 875km persegi di Sungai Batang Lupar berhampiran Lingga. Kredit : Bernama Mayat Kelima Ditemui Dan Belum Dikenalpasti Mayat kelima nahas helikopter di Sungai Batang Lupar, ditemui kira-kira jam 6 petang tadi, sebelum tiba di Jeti Lingga jam 6.47 petang tadi. Mayat kelima yang belum dikenal pasti itu ditemui pasukan Polis Marin di bahagian hulu Sungai Batang Lupar, Lingga di sini. Kredit : Berita Harian Pasukan SAR temui mangsa keempat Mayat keempat nahas helikopter ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Batang Lupar, petang ini. Polis berkata, mayat mangsa itu kini sedang dalam proses untuk dibawa ke Jeti Lingga menggunakan bot pasukan SAR. Kredit : Berita Harian Mayat Ketiga Lengkap Berpakaian, Ada Pengenalan Diri - Shahidan Kassim Mayat ketiga susulan tragedi helikopter hilang Khamis lepas, ditemui di Sungai Batang Lupar, Lingga, dekat sini, hari ini, lengkap berpakaian dan mempunyai dokumen pengenalan diri. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata mayat itu terapung di sungai itu pada pukul 12.04 tengah hari, tidak jauh dari kawasan mayat pertama timbalan menteri dijumpai. "Biarlah polis umumkan berkenaan identiti mayat," katanya pada sidang media di sini. Mayat Kedua Sah Datuk Dr Sundaran Mayat kedua nahas helikopter, Khamis lepas, disahkan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mayat kedua itu ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Batang Lupar, Lingga pada 8.34 pagi tadi. Mayat Kedua Ditemui 15km Daripada Mayat Pertama - Polis Mayat kedua nahas helikopter ditemui di tebing Sungai Batang Lupar, pagi ini, kira-kira 15km daripada tempat mayat pertama dijumpai semalam. Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata mayat lelaki itu ditemui kira-kira pukul 8.30 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Mayat itu ditemui kira-kira 10km daripada Pusat SAR Lingga, 49km dari bandar Sri Aman, katanya. Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada pukul 4.12 petang Khamis, menghala ke Kuching sebelum tragedi itu berlaku. Kredit : Bernama Dikemaskini 10.50 pagi Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat seorang lelaki dipercayai mangsa nahas helikopter, 10km dari Pusat SAR di Lingga, kira-kira 250km dari sini, pagi ini. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad mengesahkan mayat terbabit dijumpai pukul 8.31 pagi. "Mayat mangsa yang ditemui akan dibawa ke (satu) tempat, tapi tempatnya belum dipastikan lagi," katanya kepada Bernama di sini. Penemuan mayat itu, dipercayai mangsa kedua yang dijumpai selepas mayat mangsa pertama tragedi terbabit iaitu Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon dijumpai di tebing Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, kira-kira 30km dari Lingga, tengah hari semalam. Beberapa serpihan pesawat itu ditemui dekat Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau semalam. Kredit : Bernama ------------------------ Oleh : Dean BZ, Adib ZA Dikemaskini 6.50 petang Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengesahkan mayat pertama yang dijumpai di Sungai Lupar ialah Datuk Noriah Kasnon. Mayat beliau telah diterbang dari Sebuyau petang tadi kira-kira jam 3.48 petang. Sumber: Astro Awani Dikemaskini 6.15 petang Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi meluangkan masa kira-kira sejam melawat jenazah mangsa nahas helikopter di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini. Kenderaan membawa Perdana Menteri kelihatan memasuki pekarangan bangunan Jabatan Perubatan Forensik HUS jam 4.40 petang tadi sebelum dilihat keluar pada jam 5.40 petang. Turut kelihatan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba pada jam 5.10 petang tadi dan kelihatan keluar pada jam 5.43 petang. Sumber: Berita Harian Dikemaskini 3.50 petang Helikopter khas mendarat di padang IPK Sarawak membawa jenazah mangsa pertama yang ditemui dalam nahas di Sebuyau. Jenazah akan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk urusan seterusnya. Sumber: Astro Awani Dikemaskini 3.40 petang Fokus pencarian mangsa nahas helikopter di Sebuyau dikecilkan antara Sungai Merah dan Lingga, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nor Hisham Mohammad. Tambahnya, keadaan ketika ini air mula pasang, maka strategi mencari terpaksa diubah. Tumpuan mereka kini adalah untuk mencari 5 lagi mangsa. Sumber: Astro Awani Dikemaskini 1.10 tengah hari Pasukan penyelamat menemui mayat mangsa pertama, seorang wanita di tebing Sungai Batang Lupar tidak jauh dari lokasi serpihan ditemui jam 12 tengah hari tadi. Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad mengesahkan mengenai penemuan itu, sebentar tadi. Sumber: Berita Harian Dikemaskini 11.30 pagi Antara serpihan yang ditemui di Sungai Batang Sadong. Dikemaskini: 10.45 pagi Beberapa serpihan dipercayai bahagian helikopter yang dilapor hilang di Sarawak petang semalam sudah ditemui, kata Datuk Seri Najib Razak. Dalam sidang medianya sebentar tadi selepas mendapat taklimat tertutup Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Perdana Menteri berkata, serpihan yang ditemui itu dijumpai berdekatan dengan Sungai Batang Lupar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), jam 9.30 pagi tadi. Sumber: Berita Harian Kemaskini: 10.00 pagi Para wartawan memenuhi pekarangan pejabat Jabatan Pengangkutan Awam Malaysia (DCA) di sini seawal pukul 8 pagi bagi menunggu sidang akhbar khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan sebuah helikopter petang semalam. Sidang akhbar yang dijangka bermula dalam masa terdekat itu turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nor Hisham Mohammad dan pengarah agensi lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR). Sumber: Kosmo! Dikemaskini: Jumaat/ 9.40 pagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengadakan sidang media di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuching di sini, pada jam 9.30 pagi ini bagi memaklumkan perkembangan terkini insiden kehilangan helikopter membawa rombongan kenamaan ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching, semalam. Dalam kejadian jam 5 petang semalam, sebuah helikopter sewa khas jenis Eurocopter AS350 écureuil menggunakan nombor pendaftaran RP-C 6828, terputus hubungan dengan menara kawalan jam 4.32 petang, tidak lama selepas berlepas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh, Betong dengan lokasi terakhir dikesan di Triso, Sebuyau, 150 kilometer dari bandaraya ini. Sumber: Berita Harian Dikemaskini: Jumaat/ 9.15 pagi Menurut Ketua Operasi yang juga Penguasa Kanan Bomba Zon Samarahan, Azman Julaihi, dengan radius pencarian sepanjang 10 kilometer, gerakan mencari tertumpu di sekitar kawasan pantai dan muara Batang Lupar sehingga ke kawasan Linggi. Jelasnya, disebabkan kedudukan sebenar helikopter masih tidak diperoleh, pasukan bomba dan penyelamat akan melakukan pencarian di seluruh kawasan berpotensi. Sumber: Astro Awani Dikemaskini: Jumaat/ 8.00 pagi Operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara menyeluruh helikopter RPC 6828 di kawasan Sebuyau yang dilapor hilang petang Khamis telah bermula jam 6 pagi tadi. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata operasi awal SAR telah dimulakan sejak Khamis malam. Muhammad Sabtu juga menjelaskan PDRM akan bekerjasama dengan semua pihak dalam operasi tersebut. Sumber: Astro Awani Dikemaskini : Jumaat/1.40 pagi Saya sepatutnya naik helikopter itu - Ahmad Shabery Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sepatutnya menaiki helikopter yang dilaporkan hilang petang semalam, namun diminta menaiki helikopter lain bersama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang. "Ketika itu hujan lebat dan selepas berhenti, beliau (Jabu) menaiki helikopter berkenaan di Bukit Saban, Betong manakala helikopter yang lagi satu (yang hilang) pula berlepas ke Spaoh untuk mengambil Noriah. "Tidak lama selepas kami berlepas, keadaan cuaca kembali buruk menyebabkan helikopter yang kami naiki mengalami gangguan beberapa kali," katanya ketika dihubungi, semalam. Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/150686 Dikemaskini : Jumaat/12.20am Sidang tergempar sedang diadakan Dikemaskini : Jumaat/12.05am Noriah ada luah rasa tidak sedap hati - anak saudara SHAH ALAM - Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, pada mulanya tidak mahu menaiki helikopter kerana berasa tidak sedap hati sebaliknya lebih rela menggunakan kereta walaupun jarak perjalanan memakan masa panjang. Perkara itu dimaklumkan oleh Noriah sendiri kepada salah seorang saudara terdekatnya melalui telefon beberapa minit sebelum berlepas. Anak saudara Noriah, Ummu Hani Assaidah Abdullah, 30 berkata, dia mendapat tahu perkara tersebut daripada ibunya yang menerima panggilan daripada Ahli Parlimen Sungai Besar itu. "Emak saya beritahu yang Noriah tidak mahu menaiki helikopter sebab takut (tidak sedap hati). "Dia (Noriah) nak naik kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Ummu Hani Assaidah Abdullah menambah, setakat ini dia tidak mendapat laporan rasmi daripada mana-mana pihak dan kejadian yang berlaku pun diketahuinya daripada kawannya yang mengetahui berita tersebut menerusi media sosial. Sumber - Kosmo Dikemaskini : Khamis/11.40pm Helikopter Bawa Rombongan VIP Hilang Di Sarawak KUCHING: Sebuah helikopter membawa rombongan kenamaan dilaporkan terputus hubungan sejak empat jam lalu ketika dalam penerbangan dari Betong ke Kuching. Helikopter berkenaan yang dipercayai turut membawa pegawai kanan sebuah kementerian, sepatutnya di mendarat di Hangar Hornbill Skyways, di sini pada jam 5 petang tadi. Difahamkan, juruterbang memaklumkan menara kawalan lokasi mereka berada di sekitar kawasan Triso, Sebuyau sebelum terputus hubungan. Usaha sedang digerakkan bagi mengesan pesawat berkenaan. Sementara itu, TV3 melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharudin Abdul Rahman, ketika dihubungi, mengesahkan sudah menerima laporan berkenaan. Berikut adalah senarai penuh VIP yang hilang ketika helikopter berlepas jam 5petang tadi. 1. YB Dato' Noriah Kasnon, Timbalan Menteri MPIC 2. Tuan Asmuni bin Abdullah( suami TM) 3. Datuk Dr. Sundaran Annamalai , KSU MPIC, 4. Dato' Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Pengerusi MPOB/ AP Kuala Kangsar, 5. Ahmad Sobri bin Harun ( pengawal peribadi) DCA telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat. Pesawat jenis Eurocopter AS350 itu dikendalikan oleh sebuah syarikat helikopter tempatan. Hingga kini masih belum ada pengumuman rasmi. . - CARI Infonet. Sumber - Awani/BeritaHarian/DCA |
15
Bagus |
17
Marah |
6
Terkejut |
12
Sedih |
15
Lawak |
13
Bosan |
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
Anonymity
kakasotong replied at 5-5-2016 09:05 PM
Yup ternampak news ni kat fb td. Sape agaknya kenamaan yg ade dlm tu?
berusjamban replied at 5-5-2016 09:07 PM
Ramai yg mendoakan org itu kt fb... Alah yg gitu2 tu
ADVERTISEMENT