Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia mencipta rekod penyertaan sesi Hafazan Al-Quran teramai kategori pra sekolah yang diadakan semalam di seluruh negara. Menerusi muat naik di laman Facebook rasmi PASTI Malaysia, cawangan PASTI dari seluruh negara berjaya menghantar seramai 121,180 penyertaan dalam majlis tersebut. Sehubungan dengan itu, PASTI mencatat rekod baru dalam The Malaysia Book Of Records. "121,180 penyertaan berjaya dikumpul. Hari ini 20 November 2024, PASTI Malaysia telah berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dalam penyertaan sesi Hafazan Al-Quran teramai kategori pra sekolah," ujarnya. Majlis yang berlangsung selama satu jam bermula 10 hingga 11 pagi itu diadakan secara dalam talian dengan penyertaan tertinggi dari PASTI Negeri Selangor, seramai 28,292 murid. PASTI Negeri Terengganu mengikuti dengan seramai 13,978 penyertaan murid.
Mengikut rapat, PASTI Negeri Kelantan antara tiga cawangan teratas menghantar penyertaan teramai iaitu seramai 13,029 penyertaan murid. Penyertaan keempat dan kelima tertinggi disumbang oleh PASTI Negeri Kedah seramai 12,839 dan PASTI Negeri Johor dengan 8,876 penyertaan. Seterusnya, PASTI Negeri Pahang dan Perak, masing-masing dengan 8,566 dan 8,138 penyertaan murid. Di kedudukan kelapan, PASTI Negeri Sabah dengan 6,700 penyertaan manakala PASTI Negeri Pulau Pinang mengekori dengan penyertaan seramai 4,887 murid. PASTI Wilayah Persekutuan pula muncul di tangga ke-10 dengan 4,553 penyertaan, diikuti PASTI Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing menghantar seramai 4,294 dan 4,017 murid turut serta. Dua negeri lagi iaitu PASTI Negeri Perlis dan Sarawak pula masing-masing menghantar seramai 1,603 dan 1,408 murid. Menerusi hantaran tersebut, pihak PASTI Malaysia mengucapkan penghargaan buat pihak yang terlibat termasuk ibu, bapa dan guru. "Terima kasih kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa memberikan bimbingan dan dorongan buat anak-anak pelajar PASTI. Sejarah ini kita punya. "Inilah perjuangan kami dalam memacu pendidikan awal kanak-kanak. Ruang yang sangat terbuka luas untuk mengilmukan masyarakat. Mendidik anak-anak mengenal huruf dan nombor. Mendidik anak-anak mengenal Allah dan Rasul. Mendidik anak-anak mencintai mukjizat Al-Quran," ucapnya. Loading FB Post... Sumber: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia, Siakap Keli |
Shayang replied at 22-11-2024 11:35 AM
Tak ajar politik ke kat sini
Aku kalau takda kaitan ngn politik ok je tp sbb milik parti politik jd ...
ADVERTISEMENT