Sungai Buloh: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penjawat awam yang ditahan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, adalah anggota polis. Hussein berkata, suspek berusia 26 tahun dipercayai teman lelaki mangsa adalah seorang anggota polis yang bertugas di Perak. "Siasatan awal mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi kejadian utama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Terdahulu, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemui petang semalam, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya. Mayat mangsa ditemui di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, tidak jauh dari Felda Gedangsa di Hulu Selangor, pada 6 petang, sebelum polis menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 26 tahun. Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT