ALOR SETAR – Kerajaan negeri tidak pernah berhasrat menjadikan Langkawi sebagai pulau pelancongan Islam, sebaliknya mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia. Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Langkawi tidak memerlukan pendekatan seumpama itu memandangkan pulau berkenaan mempunyai keunikan tersendiri yang menjadikan ia tarikan pelancong. “Langkawi itu wilayah Kedah, pulau itu Kedah punya, kita namakan Langkawi Permata Kedah ikut suka Kedah nak buat pulau apa tetapi kita tak pernah kata nak jadikan pulau pelancongan Islam. Tidak, siapa nak ‘mai’ pun boleh. “Perkara ini (pulau pelancongan Islam) tidak pernah dibincangkan pun di peringkat kerajaan negeri. Langkawi adalah 10 pulau terbaik di dunia, itu hakikatnya,” katanya pada Majlis Anugerah Sanjungan Ilmu Peringkat Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini. Beliau mengulas tentang kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan yang bercadang untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim pada sidang Dewan Rakyat, Isnin lepas.
Mengulas lanjut kata Muhammad Sanusi, isu Langkawi sebagai destinasi pelancongan Islam itu harus dihentikan memandangkan ia menjadi polemik yang tidak sewajarnya ketika kerajaan negeri berusaha memulihkan sektor berkenaan. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT