Sepang: "Setiap saat kami diselubungi ketakutan. Tiada visa haji, gelang dan pasport menyebabkan hidup kami bagaikan pelarian," kata mangsa haji yang terkandas di Makkah dikenali sebagai Mohammad. Mohammad, 60, dari Nilai, Negeri Sembilan berkata, sebelum ini dia sempat mengerjakan umrah bersama isteri yang mahu dikenali sebagai Ju, 58, dan selepas gagal mendapat visa haji, mereka menyatakan hasrat kepada agensi pelancongan yang membawa mereka ke sana untuk membatalkan niat mengerjakan haji dan mahu pulang ke tanah air. Menurutnya, mereka bimbang ditahan pihak berkuasa Arab Saudi dan arahan juga sudah dikeluarkan kepada jemaah umrah asing agar meninggalkan Tanah Suci, Jumaat ini. "Kami tidak keluar dari bilik hotel dan kadangkala hanya makan mi segera dan sekiranya ada orang ketuk pintu bilik pun tidak akan buka kerana takut ditahan pihak berkuasa Arab Saudi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, pasangan suami isteri itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 7 malam dengan disambut ahli keluarga. Perjalanan pulang mereka dari Makkah ke Jeddah dibantu oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah termasuk mendapatkan semula pasport dan mengarahkan pihak agensi menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Mereka antara 250 individu yang berlepas ke Jeddah pada 2 Mei lalu untuk mengerjakan haji menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan tempatan. Kumpulan bakal jemaah haji ini diberi visa pelancong ketika berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan alasan akan menunaikan umrah terlebih dahulu sebelum prosedur dan dokumentasi untuk menunaikan haji diuruskan selepas menunaikan umrah. Berkongsi pengalaman itu, Mohammad berkata, dia yakin menyertai agensi berkenaan selepas dimaklumkan akan mengerjakan haji menggunakan visa kuota haji rakyat Arab Saudi. Menurutnya, selepas pihak agensi enggan menyerahkan pasportnya, dia menghubungi salah seorang anak perempuannya, Ena Awil, 33, di Malaysia bagi mendapatkan bantuan. "Sepanjang menginap di bilik hotel, kami rasa tertekan lebih-lebih lagi memikirkan kesihatan isteri yang menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi sejak lima tahun lalu memerlukan ubat-ubatan dan pemerhatian rapi serta tidak boleh berdepan tekanan," katanya. Mohammad berkata, dia bersyukur dapat pulang ke tanah air dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu. "Buat masa ini kami akan berehat beberapa hari di rumah dan selepas itu akan memberi keterangan di balai polis berhubung perkara ini dalam masa terdekat," katanya. Kelmarin, Ena ketika ditemui menjemput ibu bapanya di klia2 berkata, dia sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai isu yang timbul susulan pemergian orang tuanya ke Tanah Suci. Ena juga sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai selepas agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan haji ibu bapanya dikatakan enggan menyerahkan pasport untuk pulang ke Malaysia. Sumber : Harian Metro |
abangbikerz replied at 7-6-2024 08:12 AM
Actually apa kes dia ni?
Ahriman replied at 7-6-2024 05:20 PM
Cash kot pakcik-makcik.menipu di tempat suci.ala2 cerita dalam mustika gittew.
abangbikerz replied at 7-6-2024 04:12 PM
Actually apa kes dia ni?
makiting replied at 7-6-2024 08:40 PM
Boleh baca kat group2 umrah dlm fb
Byk kisah TA ni punya kes
Ada lg satu tu yg rezeki madinah
pocongkiutss replied at 7-6-2024 08:46 PM
Mmg degil gila
Kalau makcik pakcik ni semua dh tau tp husnuzon tak kena tmpt mmg rasa nk cashkan ...
pocongkiutss replied at 7-6-2024 08:45 PM
bila jd kes mcm ni patut nama agent tu dipampangkan besar besar..& bila kita viralkan pun diorg tak ...
ADVERTISEMENT