Mengimbas kembali fasa selepas menjuarai program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, penyanyi Mawi mengakui terkejut dengan populariti yang diraih sehingga terpaksa menggunakan khidmat 40 pengawal peribadi untuk menjaga keselamatannya. Mawi atau nama lengkapnya Asmawi Ani, 42, berkata khidmat ramai petugas disediakan pengurusnya ketika itu selepas dia menyampaikan hasrat mahu melawat rakan lama di sebuah pasar raya sebaik memenangi AF3. “Ada sekali saya mahu pergi pasar raya di Subang Jaya sebab pernah bekerja di sana sebelum ini bagi jumpa kawan-kawan lama. “Saya cakap dengan bekas pengurus tapi dia minta suruh tunggu dulu di parkir apabila sampai. Rupa-rupanya, dia susun 40 orang pengawal peribadi, saya ingat seorang dua sahaja. “Semua badan tegap-tegap berkaca mata hitam. Saya jadi terkejut,” katanya dalam sebuah podcast baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Aduh Saliha itu menyedari keperluan pengawal peribadi yang ramai selepas melihat situasi pasar raya terbabit dibanjiri ramai peminat. “Ketua mereka minta 10 orang naik ke atas pasar raya kerana ada tiga ke empat tingkat untuk periksa sama ada, ada bom atau apa-apa. “Ketika itu saya tanya perlukah sampai begini tetapi apabila masuk pasar raya, saya baru perasan memang patut ada 40 orang jaga, kalau empat orang habis saya,” ujarnya. Bagaimanapun, Mawi memberitahu kemahsyuran yang digapai ketika itu membuatkan dirinya bimbang sehingga berdoa enggan lagi hidup diulit populariti. “Ketika itu baru lepas menang AF. Luaran memang nampak seronok dengan kemahsyuran ini tetapi sebaliknya hari-hari saya berdoa. “Ya Allah, saya tidak mahu hidup macam ini. Dulu saya minta sikit sahaja tetapi Dia bagi lebih sangat ini. “Risau saya jadi tidak bersyukur, saya cuba tetapi banyak sangat,” tuturnya lagi. Mawi mula menapak dalam industri seni Malaysia pada tahun 2005 selepas menyertai AF musim ketiga dan dinobatkan sebagai juara. Sepanjang berada dalam program tersebut, fenomena Mawi telah dibentuk daripada kemenangannya sehingga tercetus fenomena Mawi World yang menjadi sebutan dan ikutan satu negara. Dia juga pernah digelar ‘Raja SMS’ apabila meraih RM12.6 juta undian sepanjang sembilan minggu dalam AF sekali gus menjadi pelajar paling tinggi undian dalam sejarah. Sumber – KOSMO! ONLINE/SinarFM |
jalfa replied at 7-6-2024 01:22 PM
Ye la.mawi..kami percaya...dulu gosip hantar ikan pancing kat rumah diana rafar pon kami.percaya:lol ...
ADVERTISEMENT