DUNIA fesyen menghidangkan rekaan-rekaan yang unik dan di luar logikal akal manusia. Rekaan sebegitu memeriahkan lagi industri fesyen dan memenuhi cita rasa pengguna yang pelbagai di seluruh dunia. Salah satu rekaan unik yang menjadi bualan pada ketika ini ialah beg yang diperbuat daripada 99 peratus (%) udara dan 1% kaca dengan berat 37 gram. Beg tangan yang diberi nama Air Swipe itu merupakan hasil rekaan daripada jenama fesyen dari Perancis, Coperni yang diperbuat daripada pepejal paling ringan di bumi iaitu aerogel. Setiap tahun, Coperni mencipta semula beg tangan yang popular dengan cara yang unik dan merangsang pemikiran. Tahun lepas, jenama itu mencipta beg tangan ‘meteorit’ edisi terhad yang diukir tangan daripada meteorit yang jatuh di bumi beribu-ribu tahun yang lalu. Manakala pada tahun ini, jenama dari Perancis itu bekerjasama dengan penyelidik Yunani dan artis visual, Ioannis Michaloudis untuk mencipta beg tangan paling ringan di dunia.
Dengan menggunakan bahan ultra-ringan, membolehkan Michaloudis mencipta beg tangan bersaiz 27cm x 16cmx 6cm yang sangat ringan. Silica aerogel adalah bahan pepejal paling ringan di dunia kerana ia terdiri daripada 99% udara dan 1% kaca. Ia dihasilkan dalam acuan keluli tahan karat melalui proses pengeringan khas yang menggunakan suhu dan tekanan tertentu untuk mengubah cecair menjadi kaca. Walaupun sangat halus, aerogel tidaklah serapuh yang anda sangkakan. Ia boleh menahan tekanan 4,000 kali ganda beratnya dan berada dalam suhu sehingga 1,200 darjah Celcius, jadi jika anda tertanya-tanya sama ada beg Air Swipe sebenarnya kukuh dan boleh memuatkan apa-apa sahaja, jawapannya adalah ‘ya’! “Materialnya adalah antara sesuatu yang ada dan sesuatu yang tidak wujud. Ia juga berada dalam keadaan di antara ini seperti keadaan malaikat,” kata Michaloudis. Coperni Air Swipe Bag membuat penampilan sulungnya di pertunjukan fesyen 2024 semasa Minggu Fesyen Paris dan telah menjadi bualan dunia sejak itu. Menariknya, pada tahun 2019, tukang di studio reka bentuk yang berpangkalan di London, Bompass & Parr menggunakan teknologi aerogel untuk mencipta pencuci mulut paling ringan di dunia iaitu 96% udara dan seberat hanya satu gram. Sumber – RELEVAN |
ADVERTISEMENT