PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang meninggalkan kain dalam martabak apabila mengeluarkan satu notis kompaun terhadap kecuaian terbabit. KKM dalam satu kenyataan berkata, notis kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan 32(1)(b) Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. “KKM memandang serius aduan tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di bazar dengan penemuan kain dalam martabak yang dibeli di Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur baru-baru ini. “KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menjalankan siasatan lanjut dan mendapati kecuaian semasa pengendalian makanan menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut,” katanya di sini tadi. KKM berkata, beberapa kesalahan lain yang dikenalpasti turut dilakukan pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak.
Katanya, ia termasuk menggunakan kain pengelap yang tidak bersih dan pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna. “KKM juga sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di semua gerai bazar Ramadan seluruh negara. “Sehingga kini, sebanyak 10,570 buah premis bazar Ramadan telah diperiksa. “Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi arahan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan- peraturan di bawahnya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya. Pada masa sama, KKM juga mengingatkan semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis masing-masing. Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT