Seorang pengguna Facebook baru-baru ini berkongsi kisahnya berhijrah dan mencari rezeki di Singapura demi masa depan yang lebih baik. Menurut pengguna tersebut, dia nekad meninggalkan pekerjaan semasanya sebagai tenaga pengajar di IPTS dan menjadi tukang cuci di negara jiran tersebut. Keputusan untuk mencari rezeki di negara republik itu juga didorong rasa tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan beban kewangan yang lain. Kisah perjalanan hidup itu dimuat naik pengguna FB berkenaan menerusi kumpulan Muflis Bankrupt di Malaysia. Keputusan yang diambil itu menyaksikan pengguna FB itu dapat menikmati gaji yang berlipat kali ganda. Katanya, dia sudah menjadi tenaga pengajar di IPTS itu selama lima tahun dan gaji terakhir yang diterima adalah RM1,900 sahaja. Di Singapura pula, biarpun pekerjaan tersebut tidak glamour seperti kerja lamanya, gaji yang diterima cukup lumayan dan berbaloi.
“Alhamdulillah dapat kerja tukang cuci, gaji pokok S$3,100,” ujarnya. Maka tak hairanlah, pengguna FB itu menganggap mencari rezeki di Singapura adalah jalan pintas untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Bukan itu sahaja, dia turut menasihati orang ramai yang berdepan dengan situasi serupa untuk berani berhijrah. “Buntu hutang berpuluh ribu, ni je la jalan pintas korang ada. Gaji pertama pun dah boleh bayar macam-macam. Korang takkan menyesal. “Kalau orang lain kata sesak kat Singapura tu macam buat teruk. Percayalah kalau dah kerja, korang boleh hadap sebab rasa berbaloi dengan apa korang dapat,” katanya lagi. Pengguna FB itu juga sempat menitipkan beberapa pesanan kepada mereka yang mahu mencuba nasib bekerja di negara itu. “Mohon kerja, minta doa mak ayah dan terus cari kerja sampai dapat. Paling penting kena percaya dengan diri sendiri. “Korang tak perlukan orang lain untuk percaya diri korang boleh kerja di Singapura. “Gaji besar macam ni mimpi je boleh dapat, kan? Tetapi sebenarnya realiti,” kata pengguna FB itu di akhir perkongsiannya. Sumber: Mothership.sg/SiakapKeli |
ADVERTISEMENT