Kota Bharu: Wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas di hadapan stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini, semalam. Pada kejadian 3.19 petang itu, mangsa memandu keretanya dari arah Jalan Zainal Abidin ke Jalan Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kenderaan mangsa dari arah Jalan Zainal Abidin dan bergerak perlahan ke Jalan Sultan Ibrahim tanpa berhenti di simpang jalan. Katanya, mangsa ketika itu dipercayai tidak sedarkan diri dan kenderaannya terbabas ke arah pembahagi jalan. "Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ke atas wanita itu dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk bedah siasat. "Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Polis meminta mana-mana individu yang melihat kejadian supaya tampil ke balai polis bagi membantu siasatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan agar tiada mana-mana individu membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu demi menghormati privasi keluarga," katanya menerusi satu kenyataan, malam tadi. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT