Muar: Seorang tukang urut dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di sebuah rumah di Batu Pahat, pada Mac lalu.
Tertuduh berusia 56 yang juga duda bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon. Mengikut pertuduhan, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun dengan kejadian berlaku pada jam 10 pagi, Mac lalu. Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam hujahnya memohon mahkamah supaya tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana kesalahan dilakukan adalah serius. "Bagaimanapun, terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk membenarkan ikat jamin. Jika dibenarkan, saya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin," hujahnya. Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari ini sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh. Mahkamah juga menetapkan dua syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak boleh mengganggu mangsa atau keluarga serta saksi pendakwaan sehingga kes ini selesai. Kejadian menimpa mangsa terbongkar apabila salah seorang guru menemuinya kerana dia kelihatan murung serta kerap tidak hadir ke sekolah. Guru terbabit kemudian memanggil ibu mangsa untuk datang ke sekolah sebelum menceritakan kejadian sebenar. Satu laporan polis dibuat ibu mangsa pada 13 September sebelum tertuduh ditahan pada hari sama. -CARI Sumber: Harian Metro
|
kelip2_07 replied at 20-12-2023 02:28 PM
nape pkai jurubahasa..indon ka??
Decaffeinated replied at 20-12-2023 03:35 PM
Itu nama salah satu jawatan dalam mahkamah, tuka baca tuduhan.
ADVERTISEMENT