NEW DELHI – Seorang pekerja sebuah zoo di India mati diserang seekor badak air ketika dia masuk ke dalam kandang haiwan itu untuk membersihkannya. New York Post melaporkan, kejadian yang berlaku di Zoo Lucknow, negeri Uttar Pradesh menyaksikan mangsa yang dikenali sebagai Suraj, 40, masuk ke kandang mamalia itu bersama seorang rakan sekerja, Raju.
Badak air itu dikatakan sepatutnya dikurung di dalam kandang semasa kerja-kerja penyelenggaraan berjadual dijalankan, namun ia secara tiba-tiba lolos lalu menyerang mangsa. Suraj mati di tempat kejadian, manakala Raju mengalami kecederaan dan dimasukkan ke hospital. Pengarah Zoo Lucknow, Aditi Sharma berkata, badak air tersebut segera dikurung selepas insiden itu, manakala pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Seorang kakitangan zoo yang enggan dikenali berkata, kandang badak air tersebut mungkin tidak ditutup dengan betul ketika kerja-kerja pembersihan dijalankan. Kejadian itu berlaku ketika zoo tersebut ditutup kepada pengunjung. – CARI Sumber:Kosmo
|
ADVERTISEMENT