Nashville, Tennessee: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan ditemui selamat dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok selepas rumahnya dibadai puting beliung, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Pusaran angin kencang itu melanda negeri Tennessee pada 9 Disember lalu ketika Sydney Moore dan suaminya berada di rumah bersama dua anak mereka iaitu Lord di samping Princeton yang berusia setahun. Bumbung rumah mudah alih milik pasangan itu diterbangkan angin bersama-sama katil bayi yang turut menerbangkan Lord. “Dia (suami) memegang katil bayi sepanjang masa sebelum mereka tercampak,” kata Moore. Ketika kejadian, Moore sempat menarik Princeton daripada dihempap dinding runtuh dan berjaya menyelamatkan diri. Moore dan suaminya kemudian berusaha mencari Lord sebelum menemui mangsa terbaring di atas sebatang pokok tumbang dengan hanya mengalami luka ringan.
“Pada awalnya, saya menyangka dia (Lord) sudah meninggal dunia dan kami tidak akan menemuinya. Namun, dia kemudian dilihat berada di pokok itu dalam keadaan baik, seolah-olah diletakkan di situ dengan penuh berhati-hati,” katanya. Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT