Riezman Khuzaimi bakal alami kerugian setengah juta ringgit sekiranya Konsert Milenia 2023 yang mengetengahkan genre dangdut anjurannya itu dibatalkan. Katanya bagi menghormati mangsa perang di Palestin ketika ini, konsert berkenaan ditunda ke satu tarikh lain.
Jelasnya selaku Pengarah Projek Mission Sight Sdn Bhd, dia tidak sanggup untuk menerima kecaman yang dianggap melampau oleh warganet sekiranya ia masih diteruskan dalam masa terdekat. "Kecaman netizen sekarang ini tahap melampau. Saya rasa biar reda dulu. Kalau disebabkan isu lain, saya boleh langgar (teruskan), tapi ini sebab Palestin. "Ada yang cadang untuk batalkan, tapi konsert ini bukan libatkan saya seorang. Saya mempunyai pasangan untuk jayakan konsert ini. Kalau dia tidak setuju, maka saya kena ikut. "Kalau batal, anggaran dalam lebih kurang RM500,000. Ini tidak termasuk yang ditipu sebelum ini iaitu sebanyak RM300,000," katanya kepada mStar.
|
ADVERTISEMENT