Ranau: Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima satu laporan berhubung seorang lelaki yang melarikan kereta Proton Persona.
Katanya, lelaki terbabit juga turut membawa enam murid di dalam kenderaan berkenaan. "Bagaimanapun, suspek diberkas dan polis turut menerima maklumat mengenai video tangkapan pihak polis ke atas suspek yang tular di media sosial. "Polis sedang menjalankan siasatan untuk memastikan tindakan dari sudut perundangan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini. Simiun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian. "Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 365 Kanun Keseksaan. "Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini bolehlah salurkan maklumat berkenaan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek diberkas anggota unit kereta peronda polis (MPV) Balai Polis Kundasang dengan bantuan orang ramai. Polis memberkas suspek di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Pinousuk, Kundasang, di sini, hari ini. Video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan suspek diberkas polis dan orang ramai sambil kedengaran suara kanak-kanak yang menangis. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT