Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berpendapat sudah sampai waktunya kerajaan sangat bertegas dalam soal penguasaan Bahasa Melayu sebagai syarat penting bagi dipertimbangkan sebagai warganegara Malaysia.
Katanya, mereka yang memohon warganegara Malaysia lazimnya sudah berada dalam negara ini selama lebih 10 tahun. Menurutnya, dalam Perkara 19 perlembagaan Persekutuan, memang mensyaratkan seorang pemohon mesti mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan yang memadai. "Adalah sangat tidak munasabah bagi seseorang yang bermastautin lebih 10 tahun tidak menunjukkan sebarang usaha dan komitmen untuk mempelajari bahasa negara yang dia ingin menjadi warganegara. "Sebagai sebuah negara berdaulat, saya menyarankan supaya syarat diperketatkan lagi bagi mereka yang memohon warganegara dan jangan sama sekali berkompromi dalam soal Bahasa Melayu ini," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Isnin, bahawa ujian penguasaan Bahasa Melayu dikenal pasti sebagai antara punca kebanyakan pemohon warga emas gagal bagi permohonan taraf warganegara Malaysia. Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, ini kerana ujian itu menjadi syarat bagi permohonan berkenaan. "(Di Malaysia) markah lulus (ujian penguasaan bahasa Melayu) adalah lapan, manakala gagal pula satu. Kadang-kadang kita luluskan mereka (pemohon) yang dapat (markah) dua pun... hanya boleh ucap 'terima kasih'. "Kebanyakan mereka yang berusia ini terlalu fasih bahasa asing. Ini antara kekangan dihadapi KDN (Kementerian Dalam Negeri)," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat itu. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai isu permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk proses kelulusan. Mengulas lanjut mengenai isu itu, Zaid berkata, sememangnya perlukan penegasan bahawa mereka yang tidak memenuhi syarat tidak layak sama sekali dipertimbangkan menjadi warganegara Malaysia. "Maruah dan kehormatan negara sama sekali digadaikan kepada mereka yang tidak menunjukkan komitmen, minat dan rasa hormat kepada kedaulatan negara ini," katanya. Sumber: Harian Metro |
Decaffeinated: Cuba interview footballer harimau malaya cakap melayu sekali nak dengar. Sembang...
ADVERTISEMENT