Lantang bersuara tentang Palestin, Nadhir Nasar, 27, tak bimbang jika ia memberi kesan terhadap penglibatannya dengan mana-mana jenama antarabangsa. "Kalau ada yang rasa takut disekat oleh mana-mana jenama, apa yang saya boleh katakan semua itu hanya sementara. Apa yang kita miliki ini sementara sahaja.
"Jadi perjuangan yang saya buat ini adalah untuk perjalanan saya lebih jauh lagi. Saya harus lakukan ini. "Saya ada platform dan pengaruh. Saya perlu cakap perkara yang benar. Tak perlu takut hilang punca rezeki," katanya kepada mStar.
Sebelum ini selebriti terkenal dunia menerima kesan susulan sokongan mereka terhadap nasib menimpa Palestin ketika ini. Tambah Nadhir dia tegas menyatakan pendirian kerana ia salah satu cara perjuangan membela mangsa perang. "Apa lagi yang boleh saya buat? Kalau nak pergi berperang, adakah iman saya sudah cukup kuat? Ini sahaja cara saya untuk tunjukkan sokongan terhadap saudara Islam di sana.
"Kita tidak boleh bercakap soal keamanan atau hak asasi kerana ia sudah tertulis begitu. Jadi dalam isu ini kena pilih pihak mana kita sokong. "Apabila sudah menyokong saya perlulah lantang bersuara," ujarnya.
Dalam masa sama pelakon ini juga tidak kisah sekiaranya ada yang anggap sokongannya itu hanya ketika isu perang sedang hangat diperkatakan. Bagi Nadhir sedikit sokongan atau suara yang dilontar sudah cukup memberi makna dalam perjuangan membantu Palestin.
"Tak kisahlah seseorang selebriti untuk sokong bermusim. Buat baik sedikit pun sudah cukup daripada tidak melakukan apa-apa. "Siapa yang tak buat apa-apa tindakan itu lebih teruk," jelasnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|