Jakarta: Polis Depok, wilayah Jawa Barat membuat rondaan khas bagi memburu pengemis yang berpakaian seperti pocong dan puntianak sehingga menyebabkan orang ramai ketakutan, lapor portal berita Okezone hari ini.
Menurut ketua polis tempatan, Mohamad Thamrin, pasukannya melakukan rondaan pada malam semalam, namun kumpulan pengemis berkostum hantu itu tidak ditemui. “Semalam kami melakukan rondaan mencari pengemis, namun mereka tidak muncul. “Pasukan kami bergerak ke lokasi yang dilaporkan sering menjadi kawasan tumpuan mereka di Jalan Raya Margonda, namun tiada pocong ditemui,” katanya. Sebelum itu, beberapa video tular di laman Instagram memaparkan sebilangan pengemis memakai kostum hantu berlegar-legar di jalanan sambil membawa kotak sumbangan. Mereka bukan sahaja mengemis, bahkan menakut-nakutkan orang ramai sehingga ada yang ketakutan.
“Memang menjengkelkan orang yang suka mengemis begini. Anda masih muda, berbanding bekerja, anda memilih untuk mengemis,” kata seorang pengguna media sosial. “Malam Jumaat lepas, saya menaiki motosikal berseorangan. Dia (pengemis) lalu di hadapan saya dengan memakai kostum pocong. Nasib baik motosikal saya tidak terbabas,” kata netizen lain. Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT