Tindakan isteri Caprice bersuara mengenai isu poligami pempengaruh media sosial iaitu Abang Tesla mendapat pujian ramai. Farra Inalis atau lebih mesra dengan sapaan Elis berpendapat wanita yang tidak mahu berpoligami berhak membuat pilihan dalam hidup mereka seperti mana suami mereka memilih untuk berkahwin lain.
Tambah Elis, seorang suami juga harus menghormati keputusan isteri yang tidak sanggup hidup bermadu. "Apa-apa pun dalam hidup ini bergantung kepada pilihan... Dia (suami) ada pilihan untuk berkahwin (lain), kita sebagai isteri juga ada hak nak pilih suami kita.
"Nak bersama atau chaw (pergi). Allah itu adil, kita nak bersama atau pergi itu adalah takdir hidup kita yang kita pilih. "Jadi, jika lelaki memilih untuk berkahwin ramai, akan ada perempuan yang mahu bersama ataupun yang mahu pergi. Tidak salah untuk dua-dua itu. "Hanya perlu hormat keputusan dan pendirian masing-masing," katanya ketika muncul dalam siri podcast di saluran YouTube Caprice Original Films yang mengundang Abang Tesla dan isteri pertamanya, Nurmajdina Jamari sebagai tetamu bagi membincangkan isu poligami. Selain pasangan itu, siaran podcast itu turut mengundang tetamu jemputan iaitu Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan personaliti media sosial, Apex Sayur. Ia dikendalikan oleh Caprice dan Shasha. Dalam pada itu, Elis turut menitipkan pesanan buat wanita yang tidak mampu menanggung ujian berpoligami agar mengundurkan diri lebih awal berbanding meneruskan perkahwinan yang dibina.
"Perempuan yang boleh terima Alhamdulillah, bagus untuk awak. Pesanan untuk perempuan yang tak boleh terima suami berkahwin empat. "Sebelum kita menempah tiket neraka awal-awal di dunia ini, pilih jalan awak. Jangan pilih tempat yang kita tak nak duduk," ujarnya. Di ruangan komen, rata-rata menyokong pandangan Elis tentang isu poligami terutamanya bagi golongan wanita yang tidak dapat terima dimadukan.
Ada juga di antara mereka berseloroh tentang reaksi Caprice yang dilihat terdiam mendengar kata-kata dilontarkan isterinya. "Nampak cuak Caprice ya. Elis ini memang dia mewakili kita semua rasa, kaw-kaw dia bagi! "Aku dapat rasa Elis ini tengah tahan marah dengan Abang Tesla... kalau aku pun aku baran," antara komen netizen. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|