Penganjuran konsert Apresiasi Irama Keroncong di Istana Budaya, baru-baru ini merekodkan satu lagi pencapaian dalam kerjaya Datuk Awie. Penyanyi itu memukau pengunjung dengan mendendangkan lagu Ratuku selain lagu dipopularkan Allahyarham Tan. Sri P. Ramlee, Malam Bulan Di Pagar Bintang yang dipersembahkan bersama penyanyi, Alyah.
Awie meluahkan rasa gembira apabila percubaannya menyanyikan lagu berirama keroncong diterima baik peminat. Dia berharap persembahannya malam itu disusuli dengan reaksi positif, bukan cerita-cerita yang kurang enak didengar. “Sebenarnya saya sudah cuba bermacam-macam jenis lagu. Antaranya seperti dangdut, joget, asli, rap dan sebagainya. Keroncong adalah kali pertama buat saya. “Alhamdulillah. Saya gembira apabila percubaan tersebut menjadi dan membuatkan penonton suka. “Saya mahu menjadi penyanyi yang versatil dan merasai sendiri susah payah membawakan lagu jenis itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Konsert Apresiasi Irama Keroncong menampilkan nama-nama besar antaranya Datuk Yusni Hamid dan Datuk Khatijah Ibrahim.
|
ADVERTISEMENT