Kuantan: Disebabkan terlalu mengejar pendapatan lumayan hasil jualan bahan terlarang, dia lupa dosa dan hukuman berat yang akan diterima jika ditahan pihak berkuasa. Sebagai tokan yang membekalkan heroin, katanya, dia mengagihkan dadah kepada beberapa pengedar kecil di daerah ini, selepas menerima bekalan dadah daripada pembekal utama di Kuala Lumpur.
"Saya individu pemusnah anak bangsa apabila ramai generasi muda menjadi penagih. Masa depan golongan terbabit hancur kerana menjadi hamba dadah sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan dadah. "Saya amat menyesal dengan perbuatan lalu apabila selama 14 tahun terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini. "Bermula sebagai penagih dadah selama 40 tahun, saya mula terbabit sebagai tokan dadah selepas dijanjikan dengan hasil jualan yang lumayan," kata banduan warga emas, Sulaiman, 62, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Penjara Penor, baru-baru ini.
Sulaiman yang akan dibebaskan tahun depan berkata, sepanjang terbabit sebagai penagih dan pengedar dadah, keluarganya tahu aktiviti yang dilakukan tetapi mereka seolah-olah memejamkan mata dengan kegiatan yang dilakukannya. Berasal dari Pulau Pinang, dia mampu meraih pendapatan lumayan hasil jualan dadah heroin serta ganja dan mengaku menggunakannya untuk menyara keluarga manakala selebihnya disimpan sebagai bekalan ketika kecemasan. Katanya, sepanjang 14 tahun sebagai tokan dadah, dia hanya memikirkan pendapatan yang diraih, walaupun tahu hukuman yang bakal menanti. "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kegiatan saya sudah lama dihidu pihak berkuasa dan mereka hanya menunggu masa sesuai untuk menangkap saya bersama dadah. "Akhirnya saya ditahan bersama setengah kilogram heroin pada 2014. Saya didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung sampai mati. "Tuhan seolah memberi peluang kepada saya untuk bertaubat dan memulakan kehidupan yang lebih bermakna apabila proses pengampunan saya diterima oleh mahkamah rayuan. Saya dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun," katanya. Sulaiman yang kini antara banduan baju biru (banduan peringkat khas) Penjara Penor berkata, sepanjang proses perbicaraan sebelum ini dia hanya membayangkan kematian di tali gantung. "Saya tidak sabar untuk bebas dan memulakan kehidupan baharu bersama isteri, anak dan cucu. Pengalaman selama 15 tahun berada di Penjara Bentong dan Penjara Penor suatu pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. "Didikan agama yang diterima dalam penjara akan saya bawa ke luar (bebas) dalam usaha mendekatkan diri dengan Allah," katanya yang bercadang membuka bengkel jahitan apabila bebas nanti. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT