Awesome TV menuntut pelakon, Norlia Ghani dan Azrel Ismail untun meminta maaf susulan dakwaan stesen itu gagal melunaskan bayaran tertunggak kepada mereka. Dalam suatu kenyataan kepada mStar, tuduhan dilemparkan oleh kedua-dua pelakon itu telah memburukkan nama mereka secara tidak adil.
Awesome TV menegaskan pihak mereka tiada kena mengena dengan isu pembayaran tertunggak yang dibangkitkan sebaliknya ia adalah tanggungjawab syarikat produksi yang telah dilantik bagi menerbitkan drama terbabit. "Tindakan Norlia dan Azrel menggunakan media massa dan media sosial mempersoal mengenai bayaran secara tidak langsung mengeret Awesome TV dalam kemelut itu sekali gus mencalarkan imej dan reputasi stesen berkenaan. "Norlia Ghani dan Azrel Ismail dinasihatkan untuk meminta maaf kepada Awesome TV kerana telah memburukkan nama stesen secara tidak adil," kata kenyataan tersebut.
Selasa lalu, Norlia meluahkan rasa kecewa terhadap Awesome TV dengan mendakwa gagal melunaskan bayaran untuk projek drama bersiri yang dijayakan sebelum bulan Ramadan. Menerusi hantaran di Instagram, Norlia berharap stesen TV itu dapat menjelaskan bayaran tertunggak walaupun sedikit. Azrel pula mendedahkan masih belum menerima wang sebanyak RM20,000 membabitkan lakonannya dalam drama bersiri 18 episod berjudul Jodoh Duda I dan akan mengambil tindakan sekiranya stesen TV itu gagal melunaskan bayaran sehingga hujung bulan ini. Sementara itu, Awesome TV dalam kenyataan sama menyarankan para artis untuk menyemak kontrak sebelum membuat sebarang tuduhan melulu. "Manakala golongan netizen pula janganlah membuat spekulasi dengan hanya mendengar sebelah pihak sahaja," kata kenyataan itu. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT